suria

Triggs sokong program pembangunan golf Sime Darby

Triggs (tiga dari kanan, barisan belakang) bergambar bersama jurulatih dan peserta Program Pembangunan Golf Sime Darby LPGA di KLGCC. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN
Triggs (tiga dari kanan, barisan belakang) bergambar bersama jurulatih dan peserta Program Pembangunan Golf Sime Darby LPGA di KLGCC. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN
Triggs (tiga dari kanan, barisan belakang) bergambar bersama jurulatih dan peserta Program Pembangunan Golf Sime Darby LPGA di KLGCC. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN

PROGRAM Pembangunan Golf Sime Darby LPGA (Persatuan Golf Profesional Wanita) semakin tampak hasilnya biarpun program ini baru memasuki tahun kedua dijalankan hasil daripada inisiatif Sime Darby Berhad dengan kerjasama Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Pada dasarnya, program lapan minggu ini diadakan bagi mencari atau melatih pemain-pemain golf wanita yang berpotensi dengan handikap dua ke bawah untuk diserapkan ke dalam pasukan negara sekali gus mampu beraksi pada Kejohanan LPGA yang bakal berlangsung Oktober ini.

Program pembangunan ini terbuka kepada semua pemain golf wanita di seluruh Malaysia dan juga kepada mereka dari Persatuan Golf Wanita Malaysia (MLGA), Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan program Junior Golf KLGCC.

Berbanding tahun lalu, program kali kedua ini dilihat lebih teratur dari segi penyelarasan serta perancangan yang dilakukan, malah lebih menarik turut mendapat khidmat jurulatih terkenal dari Australia, Ian Triggs yang sebelum ini telah melahirkan ramai pemain terkenal dunia.

Pemain profesional Jelajah PGA, John Sendon antara pemain yang pernah mendapat sentuhan Triggs yang kini berada di Malaysia sebagai jurulatih jemputan untuk berkongsi pengalaman serta kemahirannya bersama 16 pemain golf dalam program ini.

“Saya menyokong program seperti ini dan dapat melihat ia acara sukan yang berpotensi di Malaysia. Semua peserta yang terpilih mengikuti program ini amat bertuah dan diharap mampu menggunakan peluang itu sebaik-baiknya,” katanya pada media baru-baru ini.

Katanya, tempoh empat minggu pertama program ini dijalankan, pemain-pemain tersebut telah diberi pendedahan yang luas bagi menghadapi kejohanan di tahap tertinggi.

Sementara itu, peserta program ini menjalani sesi latihan selama lima hari seminggu dan mengikuti kelas-kelas khusus yang disediakan sebagai persiapan pemantapan diri setiap pemain termasuk kelas psikologi, fisiologi dan fizikal. Malah mereka juga diberi latihan persediaan ketika berhadapan dengan pihak media.

Selain itu, mereka turut didedahkan asas diet dan nutrisi yang betul serta pemahaman kardiovaskular serta latihan pukulan biasa, pukulan permulaan dan putting.

Jurulatih Akademi MST, Dean Hartman dan Koe Lai Yin memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi setiap pemain bagi mencapai objektif utama program ini diadakan iaitu layak beraksi pada kejohanan berprestij Oktober ini.

Lai Yin berkata, setiap Jumaat, semua peserta berdepan dengan perlawanan mingguan dan mereka akan bersaing antara satu sama lain.

“Pemenang mingguan bukan dipilih berdasarkan perlawanan itu semata-mata, tetapi kami turut mengira aspek disiplin diri termasuk ketepatan masa, latihan regangan dan sebagainya.

“Tahun ini lebih banyak aktiviti disediakan yang mampu membentuk pemain-pemain menjadi lebih positif. Program ini sebenarnya bukan tertumpu kepada kelayakan LPGA sahaja, tetapi turut dijadikan sebagai persediaan kepada beberapa kejohanan lain dan merupakan program jangka panjang,” katanya.

Antara pemain-pemain amatur yang menyertai program ini termasuk Kelly Tan, Kelie Kan (peserta termuda- 13 tahun), Yong Mei Khuan, Aretha Pan Herng, Michele Low, Nur Islamiah Mohamad Fuad, Nur Musfirah Ilham Armalis, Michelle Koh, Iman Ahmad Nordin, Diana Tham Shen Yen, Hillferah Tan, Janice Ling Hui Shin dan Genevieve Ling I-Rynn,

Kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia akan berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober di KLGCC dan dijangka pemain golf handalan dunia Michelle Wie, Cristie Kerr dan Natalie Gulbis turut beraksi.

Pada aksi tahun lalu, dua pemain Malaysia, Kelly Tan dan Jean Chua layak beraksi pada kejohanan ini dan telah mempamerkan aksi yang memberangsangkan. Kelly berjaya menamatkan saingan pada tangga ke-32 keseluruhan sekali gus menjadi pemain tempatan terbaik pada kejohanan ini.

Artikel Lain