suria

Malaysia Benam Pakistan 2-0

SHAH ALAM: Skuad Olimpik Malaysia berjaya menundukkan skuad Olimpik Pakistan 2-0 pada perlawanan pusingan pertama Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Rabu.

Gol pertama skuad Harimau Muda A hadir pada minit ketiga menerusi pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ketiga permainan.

Skuad kendalian Ong Kim Swee ini nyaris menambah jaringan kedua selepas mendapat sepakan percuma selepas bola terkena tangan pemain Pakistan, namun tendangan kencang Gurusamy tersasar terkena palang gol.

Suasana sedikit tegang apabila minit-minit terakhir babak pertama tamat, pemain Pakistan bertindak kasar terhadap penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat sekali gus Ansur Abbas dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang.

Sebelum wisel babak pertama tamat, stadium sekali lagi digegarkan dengan sorakan lebih kurang 7,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan ini apabila Mohd Irfan Fazail menjaringkan gol kedua permainan.

Sementara itu, pada separuh masa kedua, pasukan Pakistan yang turun dengan sepuluh orang pemain melakukan pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Muhammad Umer menggantikan Yousuf Ejaz Butt.

Babak kedua perlawanan semakin rancak apabila skuad Harimau Muda rancak melakukan serangan demi serangan dan menyaksikan skuad Pakistan lebih banyak bertahan.

Pada minit ke-70, Kim Swee melakukan pertukaran dengan memasukkan Wan Zack Haikal Wan Nor menggantikan penjaring gol pertama, Wan Zaharulnizam.

Biarpun beberapa kali percubaan bahaya dilakukan ke arah gol lawan, namun skuad Malaysia gagal menambah jaringan dan menyaksikan skuad Malaysia memperolehi kelebihan dua jaringan sebagai bekalan untuk bertandang ke Lahore, Pakistan bagi perlawanan timbal balik pada 9 Mac ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain