suria

Sukma 2011 Berskala Kecil Tanpa Sukan Wajib

KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) akan dibuat dalam skala kecil melibatkan antara 2,500 dan 3,500 atlet dalam 19 sukan pilihan tanpa acara wajib.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan MSN Abdul Jalil Abdullah berkata ia akan dilangsungkan di Kompleks Sukan Negara (KSN) di Bukit Jalil dari 28 Mei hingga hingga 11 Jun.

Katanya MSN mungkin mempertandingkan 19 daripada 25 sukan pilihan sebagaimana yang ditetapkan pada Seminar Penganjuran Sukma yang diadakan di sini pada September lepas.

"Skalanya seperti Mini Olimpik yang diadakan di KSN pada 2008, tidak melibatkan perbelanjaan besar. Jumlah acara sukan pilihan itu akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Sukma tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Acara sukan pilihan ialah besbol, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, ekuestrian, petanque, golf, judo, kabaddi, kenu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping-pong, ragbi, silambam, snuker & biliard, sofbol, tenis, tinju, bola baling, woodball, renang irama dan polo air.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) pada Mei lepas meluluskan penganjuran Sukma setiap tahun bermula tahun hadapan, dengan MSN menganjurkannya pada tahun ganjil manakala negeri-negeri akan menjadi tuan rumah pada tahun genap.

Abdul Jalil berkata temasya yang dianjurkan oleh MSN akan mempertandingkan acara sukan pilihan sahaja tetapi negeri-negeri akan mempertandingkan 24 acara, 19 wajib dan lima acara pilihan.

Sukan wajib ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin boling, angkat berat, berbasikal, karate, boling padang, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wusyu.

Mengenai permintaan negeri bagi peruntukan tambahan kerana terpaksa menyiapkan kontinjen Sukma setiap tahun, beliau berkata mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan.

Abdul Jalil berkata Pahang selaku tuan rumah Sukma 2012 mungkin tidak perlu berbelanja besar untuk membina venue baru kerana ia pernah menganjurkan temasya itu pada 1996.

"Bagi MSN, nasihat kami, anjurkan ikut kemampuan dan jangan jadikan venue yang dibina semata-mata kerana Sukma, menjadi terbiar atau gajah putih selepas temasya itu," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Balas Kritikan Pedas Evra

Artikel Berikut

Arsenal Mara Ke Pusingan Kalah Mati

Artikel Lain