suria

Skuad Taekwando Mungkin Akan Ke Guangzhou Tanpa Ryan Chong

KUALA LUMPUR: Kebimbangan menyelubungi skuad taekwondo negara di saat akhir sebelum berlangsungnya temasya Sukan Asia di Guangzhou minggu depan apabila salah seorang daripada prospek pingat, Ryan Chong Wy Loon mengalami kecederaan ketika menjalani latihan fasa akhir di luar negara baru-baru ini.

Pengurus pasukan, K.M. Rajenderan berkata Ryan kini sedang menjalani satu sesi pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengenal pasti tahap kecederaan di bahagian lutut kanannya ketika membuat latihan intensif dua minggu bersama atlet Korea di Korea Selatan bulan lepas.

"Keputusan mengenai tahap kecederaan yang dihadapi Ryan akan hanya diketahui pada Jumaat ini," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai pertandingan julung kali Taekwondo Malaysia (TM) untuk kategori pelapis dan senior di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Rabu.

Turut hadir Presiden Taekwondo Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Ryan bagaimanapun telah menjalani pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) bagi menetukan sama ada beliau layak menyertai lima lagi atlet taekwondo yang dijadualkan akan berlepas ke China pada Ahad ini.

"Sekiranya kecederaannya serius, beliau terpaksa melupakan hasrat menyertai temasya itu dan ini akan menjejaskan sasaran yang dibuat sebelum ini," katanya.

Ryan, 22, berkata beliau mengharapkan keputusan ISN memihak kepadanya agar dapat beraksi di Guangzhou bersama atlet lain kerana ia merupakan pengalaman pertamanya beraksi di temasya Sukan Asia.

"Saya berasa terkilan kerana saya telah berlatih bersungguh-sungguh dalam setahun ini dan tiba-tiba pada saat akhir saya cedera ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang pesaing di bawah kategori Bantam bawah 63 kilogram," katanya.

Pada 15 hingga 29 Oktober lepas, skuad taekwondo di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan R. Dhanaraj telah mengadakan latihan intensif bersama atlet Korea Selatan dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sambil belajar untuk memperbaiki prestasi mereka sebelum beraksi ke Guangzhou.

Selain Ryan ke Guangzhou, dua lagi atlet lelaki, Rusfredy Tokan Petrus akan bertanding dalam kategori 54-58 kg dan Mohd Affifuddin Omar Sidek (62-68 kg) manakala atlet wanita dibarisi Elaine Teo (47-49 kg), Nurul Asfahlina Johari (bawah 47 kg) dan Nurul Nadia Mahamat (49-53 kg).

Tunku Imran berkata sejumlah 34 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam TM di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada 24 hingga 26 November ini.

Beliau berkata daripada 34 pasukan itu, 11 adalah pasukan negeri dan 23 pasukan kelab yang akan merebut Piala Cabaran Tunku Imran untuk kategori senior dan Piala Datuk Nazim Tun Abdul Razak untuk kategori junior.

Tunku Imran yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata pemain yang dipilih dari kejohanan itu akan dibentuk menjadi atlet negara untuk Sukan Asia seterusnya pada 2014 and Sukan Olimpik 2016.

"Saya yakin atlet berkualiti tersebut akan dikenal pasti untuk pasukan junior dan senior kebangsaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain