suria

KBS Kaji Semula Jumlah Ganjaran Kepada Atlet Sukan Komanwel

SEPANG: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) bercadang untuk mengkaji semula jumlah wang ganjaran yang sepatutnya diberikan kepada atlet negara yang berjaya memperolehi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kewajaran bagi perkara itu akan diperhalusi terlebih dahulu pada peringkat kementerian sebelum ia dibawa ke Kabinet.

"Kami memandang tinggi kepada sumbangan atlet dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan mereka berhak mendapat ganjaran yang setimpal dengan usaha mereka," katanya kepada pemberita ketika menyambut ketibaan kontinjen negara yang menyertai Sukan Komanwel di New Delhi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Beliau berkata ganjaran RM80,000 yang diberikan oleh kerajaan kepada atlet negara yang berjaya memperolehi pingat emas di peringkat sukan komanwel adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah yang diterima oleh atlet negara lain.

"Namun demikian, jumlah ganjaran bukanlah satu persoalan besar tetapi apa yang penting adalah atlet perlu sentiasa bersedia apabila diperlukan," katanya.

Beliau berkata KBS akan menganjurkan satu majlis khas sebagai menghargai kejayaan kontinjen negara.

Mengulas sasaran negara bagi mendapatkan sembilan pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada bulan depan, beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

"Atlet berjaya mengumpul 12 sasaran pingat di New Delhi melepasi 10 pingat emas yang diletakkan sebelum ini dan kejayaan ini perlu diteruskan ke Sukan Asia di Guangzhou nanti," katanya.

Beliau berkata perancangan yang lebih teliti dan kemas akan dibuat oleh semua pihak terlibat bagi memastikan bahawa sasaran itu tercapai.

Kontinjen negara ke Sukan Komanwel New Delhi berjaya mengutip 12 pingat emas, 10 perak dan 13 gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain