suria

Shabery Sedia Jadi Orang Tengah Isu Hutang KOAM

KEMAMAN: Kesal dengan pertelagahan tidak berkesudahan antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Sabtu menawarkan diri untuk menjadi orang tengah.

Beliau berkata isu hutang RM60,000 yang membabitkan dua badan sukan itu harus diselesaikan segera dengan cara berhemah.

"Saya sedia jadi orang tengah, namun apa yang saya kesal apabila jadi isu seperti ini seolah-olah menjadi satu trend pemimpin persatuan sukan cepat mencari media.

"Seolah-olah publisiti menjadi keutamaan sedangkan perkara ini boleh diselesai cara baik melalui medium yang sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas isu kegagalan KOAM menjelaskan hutang RM60,000 kepada MOM menyebabkan tercetus 'perang mulut' di antara kedua-dua badan sukan tersebut yang turut mengheret Majlis Sukan Negara (MSN).

Ahmad Shabery yang ditemui ketika menyertai Jelajah Ibadah Kemaman, berkata media tidak seharusnya dijadikan medan untuk persatuan sukan bertikam lidah kerana ia akan menjejaskan keyakinan atlet dan orang ramai terhadap mereka.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi dilaporkan meminta KOAM melangsaikan hutangnya terlebih dahulu sebelum menghantar atlet di bawah naungannya ke Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim bertegas enggan berbuat demikian atas alasan tidak mempunyai dana selain berpendapat kos pembiayaan atlet kategori B pada Sukan SEA di Laos pada tahun lepas harus ditanggung bersama oleh KOAM, MOM dan MSN.

Hari ini (Sabtu) akhbar melaporkan Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong meminta KOAM tidak menuding jari menyalahkan MSN dalam perkara itu sebaliknya menyelesaikan sendiri apa yan telah mereka janjikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain