suria

Pasukan Bola Sepak Bawah 23 Tahun Malaysia Bertemu Korea Selatan Esok

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak bawah 23 tahun negara akan berpeluang menguji prestasi mereka dengan menentang skuad Olimpik Korea Selatan dalam perlawanan persahabatan pada pukul 5.15 petang esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih pasukan bola sepak negara K.Rajagopal berkata objektif utama pertemuan itu adalah untuk mengenal pasti pemain yang layak ke Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini.

"Kami akan memerhati kemampuan para pemain, kerjasama dalam pasukan, dan bagaimana mereka dapat menyaingi kepantasan pemain Korea," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun para pemain baru saja menamatkan saingan liga dan berkumpul untuk latihan hanya seminggu sebelum perlawanan, ia bukan alasan untuk pemain menampilkan perlawanan sambil lewa.

"Pemain Korea Selatan kuat, mereka datang dari pelbagai kelab-kelab professional, tapi kami berjanji untuk melakukan apa yang termampu, untuk menunjukkan kekuatan sebenar, bukan ambil mudah," katanya.

Sementara itu jurulatih Korea Selatan Hong Myung Bo pula menyuarakan rasa kecewa dengan perkembangan bola sepak negara.

"Semasa saya masih muda, pasukan bola sepak Malaysia cukup kuat. Ia (kini) amat menghampakan, pembangunan bola sepak Malaysia agak perlahan berbanding Korea," katanya.

Pasukan Korea Selatan yang sedang membuat persediaan untuk Sukan Olimpik 2010 akan menurunkan beberapa pemain baru-baru ini bermain untuk pasukan kebangsaan di kejohanan Piala Dunia Afrika Selatan baru-baru ini.

Korea Selatan dan Jepun adalah antra dua negara Asia yang mara ke peringkat saingan kalah mati 16 negara di kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain