suria

Timbalah Presiden FAM : Khairy Sokong Tengku Abdullah Dan Annuar Musa

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tan Sri Annuar Musa untuk mengisi dua jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan minggu depan.

Khairy, yang tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya, berkata Tengku Abdullah dan Annuar merupakan gandingan terbaik yang mampu memacu pekembangan bola sepak negara.

"Tengku Abdullah seorang calon yang menjadi pilihan saya, saya hormat pada dan yakin Tengku boleh bawa perubahan.

"Tan Sri Anuar Musa juga calon yang baik dan mereka adalah gandingan terbaik buat masa ini," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai calon yang akan bertanding jawatan itu menjelang sesi pemilihan pada Kongres Tahunan FAM ke-47 Sabtu depan.

Terdahulu itu, Ketua Pemuda UMNO itu menghadiri program gotong royong dan kenduri rakyat anjuran Pemuda Umno Bahagian Kelana Jaya di Taman Desa Ria di sini.

Khairy berkata, gandingan tersebut juga diyakini mampu membawa perubahan yang tidak berjaya dilaksanakan oleh kepimpinan terdahulu terutamanya dari segi pembangunan bola sepak jangka panjang.

Beliau berkata, walaupun ketika tempoh kepimpinannya skuad kebangsaan ada mencatat kejayaan seperti menjuarai Sukan SEA Laos 2009 dan penubuhan pasukan Harimau Muda tetapi ia tidak mencukupi dan mengakui tidak dapat merencanakan pembangunan dan perubahan untuk jangka masa panjang.

Khairy berkata, beliau juga pernah berbincang dengan bekas pemain kebangsaan Lim Teong Kim yang kini menjadi jurulatih pasukan remaja kelab Bayern Munich di Jerman untuk bersama-sama membangunkan bola sepak negara tetapi malangnya cadangan itu tidak begitu diberikan perhatian.

Oleh itu, beliau menyeru perwakilan pada kongres itu supaya membuat pilihan tepat dengan memilih calon yang mampu melaksanakan tugas demi pembangunan sukan itu di negara ini.

Mengikut perlembagaan baru FAM, Jawatankuasa Eksekutif FAM terdiri daripada 15 ahli iaitu seorang Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan lapan Anggota Eksekutif selepas pemilihan kali ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, mengekalkan jawatan presiden bagi tempoh 2010-2015 apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup Ahad lalu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain