suria

Felda United Belum Rancang Strategi Beraksi Di Liga Super

KUALA LUMPUR: Juara Liga Perdana Malaysia musim ini Felda United FC belum merancang strategi untuk bersaing dalam Liga Super pada musim depan.

Ketua jurulatihnya E. Elavarasan berkata buat masa sekarang pihaknya bercadang mahu berehat dalam seminggu dua ini bagi meraikan kemenangan semalam sempena berjaya melangkah ke Liga Super.

"Dalam tempoh cuti rehat ini, kita mungkin akan memikirkan dan mengorak pelan baru mengenai apa yang kita akan buat untuk persiapan memasuki Liga Super akan datang bagi memberi saingan kepada lawan kita," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau memuji anak buahnya kerana telah menunjukkan persembahan yang bagus dalam satu musim ini dan memberi komitmen pada sesi latihan.

"Semangat ingin menjadi jaguh yang ditonjolkan oleh pemain-pemain kita inilah membuatkan Felda United menjadi kuat seterusnya menjadi juara pada kali ini.

"Sokongan daripada pengurusan pada kali ini pun memang up-to-date, apa yang kita perlukan selalu ditunaikan oleh pengurusan kita. Itu juga merupakan kelebihan yang kita ada pada tahun ini," ujarnya.

Ketika ditanya adakah Felda United akan membeli pemain yang berpotensi untuk musim depan, Elavarasan berkata perbincangan masih belum dibuat tetapi tidak menafikan telah mula mengintai pemain-pemain yang berpotensi untuk beraksi di Felda United.

"Pada masa ini, kita belum tentukan belanjawan musim depan dan perbincangan juga belum kita buat bagi membeli pemain baru.

Felda United dan Sabah melangkah ke Liga Super musim depan selepas masing-masing menduduki tangga teratas dan kedua Liga Perdana yang melabuhkan tirainya malam tadi.

Namun pada perlawanan malam tadi, Felda United sekadar seri tanpa jaringan dengan Angkatan Tentera Malaysia sementara Sabah memintas kedudukan Selangor PKNS dengan menumpaskan Pos Malaysia 1-0.

Selangor PKNS yang sebelum ini berada di tangga kedua, tewas 1-2 kepada Harimau Muda dan turun ke tangga ketiga. Hanya dua pasukan teratas Liga Perdana akan dinaik taraf untuk bersaing di Liga Super musim depan.

Pasukan Felda United mengutip 50 mata daripada 22 perlawanan, menang 15 kali, seri lima kali dan tewas dua kali sementara Sabah mengutip 48 mata, menang 15 kali, seri tiga kali dan tewas empat perlawanan. - BERNAMA

Artikel Lain