suria

Chong Wei Mahu Sekat Impian Taufik

JAKARTA: Pemain negara Datuk Lee Chong Wei akan mempertahankan kejuaraan Badminton Terbuka Indonesia 2010 apabila menentang pemain tuan rumah Taufik Hidayat pada final di Istora Senayan di sini hari ini.

Chong Wei berkata beliau bersedia untuk menggagalkan cita-cita Taufik untuk mencatatkan rekod juara kejohanan itu sebanyak tujuh kali.

Pertemuan antara kedua-dua jaguh sukan itu menyaksikan ulangan perlawanan akhir tahun lepas.

Pada saingan separuh akhir semalam, Chong Wei berjaya menebus kekecewaan pada Terbuka Singapura minggu lepas dengan mudah menumpaskan pemain tuan rumah Sony Dwi Kuncoro 21-13, 21-9 dalam masa 33 minit.

Sebelum ini, Sony menyingkirkan Chong Wei pada separuh akhir Terbuka Singapura dengan kemenangan 7-21, 21-19, 21-15.

Dalam pada itu, Taufik dengan mudah menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menundukkan pemain utama Vietnam Nguen Tien Minh 21-17, 21-12 dalam masa 49 minit.

Dalam pertemuan dengan Sony, Chong Wei, pemain nombor satu dunia, tampil dengan lebih agresif dan tidak memberi kesempatan kepada lawannya untuk memintasnya.

"Saya tak sangka hari ini macam main mudah, Sony mungkin main tak terlalu bagus," katanya selepas perlawanan itu.

Bagi menghadapi Taufik hari ini, katanya, beliau akan memperkuatkan pertahanan kerana lawannya terkenal dengan persembahan bercorak serangan.

"Saya harap dapat beraksi dengan lebih cemerlang bagi mempertahankan gelaran kali ini," katanya.

Taufik pula berkata beliau bercita-cita untuk mengejar rekod kejuaraan bagi kali ketujuh selepas kali terakhir menjuarainya pada 2006 iaitu menyamai pencapaian seniornya Ardy B.Wiranata.

Katanya beliau perlu memperkuatkan mentalnya bagi menghilangkan ketegangan semasa menghadapi Chong Wei kerana lawannya itu disifatkan berada dalam keadaan baik sekali selepas menjuarai Terbuka Korea Selatan, Malaysia dan All England tahun ini.

Keputusan Separuh Akhir:

Perseorangan Lelaki

Lee Chong Wei (MAS) mn Sony Dwi Koncoro (INA) 21-9, 21-13

Taufik Hidayat (INA) mn Nguyen Tien Minh (VIE) 21-17, 21-12

Perseorangan Wanita

Saina Nehwal (IND) mn Eriko Hirose (JPN) 21-9, 21-10

Sayaka Sato (JPN) mn Ana Rovita (INA) 22-20, 21-17

Beregu Lelaki

Cho Gun Woo/Kwon Yi Goo (KOR) mn Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata (JPN) 19-21, 21-12, 21-14

Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu (TPE) mn Anthony Clark/Nathan Robertson (ENG) 15-21, 21-9, 22-20

Beregu Wanita

Kim Min Jung/Lee Hyo Jung (KOR) mn Miyuki Maeda/Satoko Suetsuna (JPN) 21-16, 21-18

Cheng Wen Hsing/Chien Yu Chin (TPE) mn Vita Marissa (INA/Saralee Thoungthongkam (THA) 21-15, 21-15.

Beregu Campuran

Robert Mateusiak/Nadiezda (POL) mn Nova Widianto/Liliyana Natsir (INA) 21-12, 16-21, 21-19

Hendra Setiawan (INA)/Anastasia Russkikh (RUS) mn Ko Sung Hyun/Ha Jung Eun (KOR) 19-21, 21-13, 21-17

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Raih Tempat Ke-22

Artikel Berikut

Artikel Lain