suria

Tawaran Capello Hadir Pada Saat Akhir: Scholes

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Scholes (gambar) memberitahu dia akan menerima permintaan Pengurus Fabio Capello untuk menangguhkan persaraannya bersama skuad kebangsaan England jika dia ditawarkan tempat memperkuat The Three Lions pada Piala Dunia lebih awal.

Bercakap buat pertama kalinya mengenai sebab dia menolak pelawaan Capello, Scholes mempertikaikan tindakan pengurus England itu memanggilnya menyertai pasukan itu di saat-saat akhir.

Pelawaan itu hadir hanya beberapa minggu sebelum kejohanan bermula.

"Ia keputusan yang sukar dibuat dan saya tidak diberikan masa secukupnya untuk berfikir mengenai perkara itu. Jika mereka bertanya lebih awal, saya mungkin menerima tawaran itu.

"Terdapat beberapa pemain yang menghabiskan masa selama dua tahun membantu England mara ke pusingan akhir Piala Dunia tetapi saya sudah tidak terlibat sekian lama," katanya.

Menurutnya lagi, ia bukan disebabkan kerana mahu pergi bercuti, sebaliknya terjadi kerana jangka masa daripada beliau menerima paggilan adalah terlalu hampir dengan perlawanan.

Beliau juga mengakui, tidak selesa untuk mengambil alih tempat seseorang yang telah membantu England mara ke Afrika Selatan.

Katanya, dia juga tidak mahu mengambil alih tempat seseorang yang sudah membantu England melangkah ke negara tuan rumah kejohanan berprestij dunia itu.

Scholes pernah tersenarai dalam 23 skuad akhir England pada dua perlawanan Piala Dunia dan dua kejuaraa Eropah bersama pasukan itu tetapi bersara daripada karier bola sepak antarabangsa, enam tahun lalu pada usia 29 tahun.

Memandangkan dia diletakkan dalam posisi bukan kegemarannya, Scholes membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kariernya di Old Trafford dan meluangkan banyak masa dengan keluarganya.

Sejak kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) melabuhkan tirainya musim lalu, Scholes melatih kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) tetapi kata-katanya merindui Piala Dunia terpancul buat pertama kalinya di depan khalayak ramai selepas pembukaan kelab baru, Chadderton Park FC.

Pemain berusia 35 tahun itu turut bersimpati terhadap rakan sepasukannya di United, Rio Ferdinand apabila tidak dapat mengetuai England akibat kecederaan lutut.

"Saya simpati terhadap Ferdinand. Dia mengalami kecederaan ketika perlawanan semakin hampir. Ia bukan saja berita sedih untuk Rio tetapi England turut merasai kehilangannya. Dia adalah kapten dan tonggak utama pasukan," jelasnya.

Artikel Lain