suria

Felda Kekal Dipuncak, Shahzan Muda Tersingkir

KUALA LUMPUR: Berbaki tiga perlawanan, Felda United kekal berada di tangga teratas Liga Perdana setelah menumpaskan Shahzan Muda 1-0 pada perlawanan di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam tadi.

Jaringan tunggal Khairul Izwan Khalid pada minit ke-5 permainan sudah cukup untuk membolehkan skuad bimbingan E.Elavarasan itu mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul 43 mata.

Keputusan ini juga menyebabkan Shahzan Muda menjadi pasukan pertama tersingkir dari saingan Liga Perdana pada musim depan dan bakal beraksi pada saingan Piala FAM.

Kelab dari Pahang itu kini hanya mengumpul lima mata dan sekiranya menang sekalipun pada tiga perlawanan terakhir mereka tidak akan dapat memintas MP Muar yang kini mengumpul 15 mata.

Selangor PKNS pula mengekori rapat Felda United ditangga kedua dengan 42 mata apabila turut mencatatkan kemenangan 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Kemenangan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu turut dibantu melalui jaringan hatrik Mohd Zamri Hassan pada minit ke-50, 70 dan 86 manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Christine Jaya Seelan pada minit ke-60.

Sabah yang tidak bermain malam ini kekal ditangga ketiga dengan 39 mata manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditangga keempat dengan 35 mata setelah menewaskan Melaka 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol tuan rumah dijaringkan pada separuh masa pertama melalui Saiful Mustafa dan Fauzan Dzulkifli pada minit ke-18 dan 22 manakala gol saguhati pelawat hadir pada minit ke-88 melalui Rafie Katin.

Jaringan hatrik G.Puneswaran pada minit ke-26, 37 dan 80 pula membolehkan Pos Malaysia menewaskan Harimau Muda 3-2 di Stadium Hang Tuah.

Dua gol anak-anak buah Ong Kim Swee pula hadir melalui dua gol jaringan D.Saarvindran pada minit ke-43 dan 70.

Saingan Liga Perdana akan berehat selama satu bulan kerana kejohanan Piala Dunia dan Sukan Malaysia di Melaka yang akan berlangsung pada bulan Jun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain