suria

Cai Lin Cipta Rekod Baru, Layak Ke Kejohanan Dunia

Khoo Cai Lin menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada Kejohanan Milo/PRAM Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Khoo Cai Lin  menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada Kejohanan Milo/PRAM Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Khoo Cai Lin menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada Kejohanan Milo/PRAM Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan, Khoo Cai Lin menjadi perenang Malaysia pertama layak ke kejohanan dunia yang akan berlangsung di Shanghai, China tahun depan.

Cai Lin, 22, yang mewakili Selangor pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-53 mencatatkan lapan minit 48.53 saat dalam acara gaya bebas 800m wanita sekali gus memadamkan rekod yang dibuat Zheng Jing dari China pada 2002.

Pencapaian Cai Lin juga mengatasi masa yang ditetapkan untuk kelayakan ke kejohanan dunia bagi acara tersebut iaitu 8:48.70s.

"Saya sangat berpuas hati dengan catatan masa hari ini. Semalam saya cuba memecahkan rekod dalam acara 400m dan cuba untuk layak ke kejohanan dunia tetapi gagal. Sudah pasti saya berpuas hati dengan keputusan hari ini," kata Cai Lin.

Dalam acara gaya bebas 400m semalam, Cai Lin mencatatkan 4:20.15s untuk meraih pingat emas. Bagaimanapun catatan itu tidak memadai untuk dia layak kejohanan dunia memandangkan masa kelayakan yang ditetapkan ialah 4.17.64s.

Cai Lin yang tidak akan mewakili Selangor pada Sukan Malaysia di Melaka pada Jun ini berkata dia akan ke Amerika Syarikat pada bulan depan bagi menyertai dua pertandingan yang akan berlangsung di San Diego dan Santa Clara.

"Dua acara ini adalah sebagai persiapan saya untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Pada hari terakhir Terbuka Malaysia hari ini, dua lagi rekod kejohanan dipadamkan.

Empat perenang Hong Kong iaitu Andrea Wan, Rainbow Ip, Wong Yee Ching dan Cheng Yuen Yue mencipta rekod baru dalam acara 4x100m berganti-ganti dengan catatan 4:24.52s sekali gus membatalkan rekod yang dibuat rakan senegara mereka pada 2008.

Pingat perak dan gangsa diraih pasukan dari Kuala Lumpur dan Sabah dengan catatan masing-masing 4:34.43s dan 4:37.05s

Dalam acara 4x100m berganti-ganti lelaki, pasukan Singapura iaitu Rainer Ng, Mark Tan, Yeo Jia Chen dan Mattias Ng berjaya menafikan hasrat Hong Kong untuk meraih kemenangan berganda selepas memberi cabaran hebat.

Pasukan Singapura itu mencatat 3:54.55s sekali gus membatalkan rekod terdahulu 3:59.94s yang dibuat Hong Kong pada 2008.

Hong Kong yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak kali ini mencatat 3:55.07s, sementara Iran meraih pingat gangsa dengan catatan 4:01.38s. - BERNAMA

Artikel Lain