suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Felda United Catat Keputusan Seri Namun Kekal Terajui Liga

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Perdana, Felda United gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika turun menentang Pos Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

Walaupun turun selaku tuan rumah, Felda United telah dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat apabila Muhammad Zafran Oli Bullah membuka jaringan pada minit ke-50.

Namun skuad bimbingan E. Elavarasan itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 melalui Saufi Ibrahim untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Keputusan ini membolehkan Felda United mengumpul 39 mata mengatasi Selangor PKNS yang berada di kedudukan kedua liga dengan 36 mata setelah turut menewaskan Melaka 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya.

Harimau Muda juga turut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang USM FC di Stadium Hang Tuah dengan kedua-dua gol dihasilkan pada separuh masa kedua perlawanan.

D. Saarvindran membuka jaringan untuk skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu pada minit ke-65 namun Mohamad Baser Mahamad Napae berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-75.

Pada aksi di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Shahzan Muda dibelasah oleh PDRM 4-1 dengan gol tunggal pelawat dijaringkan oleh Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-67.

Manakala dua gol masing-masing disumbangkan oleh Mohd Faizol Che Noh (m-12 dan 45) dan Mohd Afif Amiruddin (m-22 dan 90) untuk membolehkan pelawat mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu pada saingan tunggal Liga Super menyaksikan Johor FC tewas kepada Kedah 2-1 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kedah membuka jaringan seawal minit ketujuh permainan apabila pemain Johor FC, Mohd Hamzah Omar menjaringkan gol sendiri sebelum penyerangnya, Mohd Khyril Muhayameen Zambri menjaringkan gol kedua pada minit ke-64.

Johor FC bagaimanapun berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-87 melalui Azwan Arif.

Artikel Lain