suria

Gelaran Juara Milik Siapa?

Mourinho mahu membantu Inter menamatkan penantian kejuaraan Eropah sejak 1965.
Mourinho mahu membantu Inter menamatkan penantian kejuaraan Eropah sejak 1965.
Mourinho mahu membantu Inter menamatkan penantian kejuaraan Eropah sejak 1965.

KEMUNCAK perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok merupakan penanda aras keupayaan dua pasukan terkemuka dunia, Bayern Munich dan Inter Milan untuk merebut gelaran juara musim ini.

Namun, perhatian kini lebih tertumpu kepada dua pengurus terbaik dunia, Jose Mourinho yang mahu menamatkan penantian panjang Inter dalam kejuaraan Eropah itu manakala Louis van Gaal memasang impian untuk menambah koleksi trofi kelima Bayern.

Kedua-dua pengendali itu pernah mencatat 28 kejayaan utama dengan Mourinho dikenali sebagai pencipta sejarah bola sepak manakala lawannya memiliki pengalaman luas apabila memenangi kejuaraan liga di empat negara berlainan.

Mourinho atau lebih dikenali sebagai The Special One pernah membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 50 tahun dan kini menggalas tanggungjawab besar untuk membawa pulang semula trofi Eropah yang dimenangi buat kali terakhir pada 1965.

Walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid musim depan, Mourinho mengetepikan spekulasi itu dan fokus untuk memenuhi impian peminat-peminat Inter dan seluruh rakyat Itali.

Jika dia memutuskan untuk meninggalkan Inter walaupun berjaya mengemudi pasukan itu sebagai juara, ia mungkin disebabkan perasaan bencinya terhadap media Itali berbanding beberapa masalah lain.

Mourinho yang pernah bekerja di bawah Bobby Robson dan Van Gaal di Barcelona sebagai penterjemah, memenangi enam gelaran liga di Portugal, England dan kini Itali untuk mengumpul 13 kejuaraan utama.

"Saya amat menyayangi semua pemain. Dari hari pertama perlawanan sehingga kemuncaknya esok, mereka sudah memberikan segalanya. Mereka mempamerkan aksi menakjubkan musim ini," kata Mourinho.

Masa depan Van Gaal lebih jelas apabila pengurus dari Belanda itu memberi gambaran awal bahawa dia akan kekal membimbing Bayern walaupun berjaya membawa pulang trofi berharga itu.

"Kekalahan boleh berlaku di akhir tetapi ia pasti mengejutkan jika anda memenangi tiga kejuaraan dengan pasukan dan pengurus baru pada musim pertama," katanya.

Perlawanan kali ini dicemari dengan perang mulut antara kedua-dua pengurus sering menyatakan pasukan masing-masing boleh menyajikan persembahan terbaik.

Lebih menyedihkan apabila perancang tengah Bayern, Franck Ribery dan pemain Inter, Thiago Motta digantung perlawanan selepas menerima kad merah pada aksi separuh akhir.

Namun, Van Gaal akan menurunkan Hamit Altintop untuk menggantikan pemain kebangsaan Perancis itu manakala Mourinho pula akan menggunakan formasi 4-3-1-2 atau 4-2-3-1 dengan meletakkan Goran Pandev atau Mario Balotelli di bahagian sayap Inter.

Sementara itu, pemain Bayern, Arjen Robben dan pemain Inter, Wesley Sneijder pastinya individu paling bertuah apabila berpeluang membuktikan kehebatan masing-masing di Santiago Bernabeu selepas dijual Real Madrid tahun lalu.

Kekuatan Bayern:

Pemain sayap, Arjen Robben - dilihat semakin menyinar apabila dinobatkan selaku penjaring terbanyak kelab selepas mempamerkan aksi hambar bersama Real Madrid musim lalu.

Penjaga gol, Hans-Joerg - walaupun berusia 35 tahun, khidmatnya tetap ditagih skuad kebangsan Jerman pada aksi Piala Dunia, bulan depan. Dia pernah membantu Bayern Leverkusen memenangi kejuaraan Eropah pada 2002.

Kekuatan Inter:

Penyerang Argentina, Diego Milito - berjaya menjaringkan 22 gol pada musim pertama di Serie A. Namun kekuatan utama terletak pada taktik yang ditekankan Mourinho esok.

Kapten pasukan, Javier Zanetti - mungkin diturunkan untuk memperkukuhkan pertahanan kiri memandangkan pretasi permainannya kian memuncak.

Pemain pertahanan, Maicon - pergerakannya begitu tangkas dan sukar dikekang.

Tonggak utama, Wesley Sneijder - berada di posisi tepat di antara bahagian tengah dan pertahanan yang mampu menyukarkan pemain lawan untuk menyekat kemaraannya.

Artikel Lain