suria

Zulfahmi Dijangka Capai Kelompok 15 Teratas Pada MOTOGP Di Sepang

KUALA LUMPUR: Pelumba motosikal kelas 125cc negara Mohd Zulfahmi Khairuddin dijangka memasuki kelompok 15 teratas Kejohanan Motosikal Grand Prix Dunia (MotoGP) di litar Sepang Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Razlan Razali berkata berdasarkan prestasi Zulfahmi setakat ini, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai memandangkan anak muda berusia 19 tahun itu seorang yang cepat belajar dan mempunyai minat yang amat tinggi terhadap sukan berkenaan.

"Walaupun baru pertama kali beraksi dalam Kejohanan MotoGP Dunia, beliau boleh 'perform' dan dapat bersaing dengan pelumba-pelumba lain yang lebih berpengalaman.

"Jika dilihat pada prestasi beliau sekarang, tak mustahil apabila sampai di Sepang nanti, beliau akan berjaya menempatkan diri dalam 'top' 15," katanya kepada pemberita selepas sidang media penganjuran 'Super GT International Series', di sini hari ini.

Semalam, Zulfahmi yang mewakili pasukan AirAsia-Sepang International Circuit, berjaya menamatkan perlumbaan di Grand Prix Perancis di litar Le Mans di tempat ke-24 daripada 29 pelumba, walaupun terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama.

"Dia terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama dan telah memperlahankan beliau, tetapi beliau berjaya meneruskan perlumbaan," kata Razlan.

Beliau berkata Zulfahmi tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun terjatuh daripada motosikalnya dalam kemalangan itu dan boleh menyertai perlumbaan pada siri seterusnya di Mugello, Itali.

April lepas Zulfahmi menamatkan perlumbaan pada tempat ke-21 di Grand Prix di Qatar manakala pada perlumbaan di Jerez, Sepanyol bulan lepas beliau berjaya mendapat tempat ke-20. - BERNAMA

Artikel Lain