suria

30,000 Parkir Disediakan Untuk Pengunjung Hari Belia Negara 2010

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan menjangkakan seramai 300,000 orang berkunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Negara 2010 dari 14 hingga 16 Mei ini.

Sehubungan itu bagi kemudahan pengunjung, kira-kira 30,000 petak parkir awam telah disediakan di Presint 1, 7, 18 dan 20.

Kementerian itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata pihak penganjur akan melaksanakan konsep Park 'n' Ride sepenuhnya sepanjang acara berlangsung kerana beberapa jalan utama ke Core Island Putrajaya akan ditutup kepada lalu lintas. "Orang ramai tidak perlu risau kerana tidak kurang daripada 30 buah bas ulang-alik disediakan untuk membawa orang ramai dari lokasi parkir awam ke pusat transit di tapak acara," katanya.

Sementara itu sebanyak 16 buah trem disediakan di pusat transit secara percuma untuk kemudahan pengunjung bergerak di sekitar tapak acara.

Untuk kemudahan orang ramai, seramai 300 orang sukarelawan bermotosikal dijangka terlibat mengangkut orang ramai ke lokasi karnival di dalam Core Island.

Bagi pengunjung berkenderaan yang melalui Presint 1 boleh meletakkan kenderaan di tiga lokasi parker awam di Park 'n' Ride berhampiran pusat membeli-belah Alamanda yang boleh menampung 1,500 buah kereta dan 300 petak parkir di belakang Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.

Orang ramai dibenarkan meletak kenderaan di sepanjang tepi jalan Oval Route, Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang boleh menampung 2,000 kenderaan.

Menurut kementerian itu, di Presint 7 pengunjung boleh meletakkan kenderaan di parkir awam ERL dan Park 'n' Ride Putrajaya Sentral yang menyediakan 2,500 petak dan 2,000 ruang parkir di tapak cadangan Pusat Kanser bersebelahan Hospital Putrajaya.

Manakala di Presint 18 pula pihak penganjur menyediakan tiga tapak parkir yang boleh menampung 1,600 buah kenderaan dan 2,000 ruang di sepanjang jalan yang dibenarkan di kawasan tersebut.

Sementara itu, orang ramai yang datang dari laluan lebuhraya MEX, LDP dan PLUS (Exit Putrajaya), Cyberjaya dan Dengkil dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan meletak kenderaan khas di Presint 20 atau Presint 7.

Tapak parkir di Presint 20 boleh menampung 18,000 buah kenderaan dan ia berhampiran dengan tapak acara Presint 5 dan 6.

Pemandu dan pengunjung dinasihatkan supaya mematuhi arahan papan tanda penunjuk arah dan penunjuk arah parkir serta arahan pegawai lalu lintas bagi mengelak sebarang kesulitan berlaku.

Orang ramai diminta merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan terutamanya waktu puncak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain