suria

Johor Peruntuk RM500,000 Anjur Karnival Sukan

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM500,000 untuk menganjurkan karnival sukan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mulai tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penganjuran sukan itu bertujuan menyemarakkan aktiviti sukan secara menyeluruh kepada lapisan rakyat.

"Penganjuran sukan itu diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, baru-baru ini dan ia dilihat mampu memberikan kesan positif kepada peningkatan bidang terbabit," katanya semasa berucap pada pelancaran Malam Semarak Sukma dan Minggu Sukan Johor 2010, di sini, malam tadi.

Abdul Ghani berkata, kelab-kelab sukan di kawasan kampung atau mukim tidak perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebaliknya hanya perlu diiktiraf oleh Majlis Sukan Daerah masing-masing untuk menyertai karnival sukan peringkat DUN itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Md Jais Sarday berkata Johor menyasarkan 40 pingat emas pada temasya Sukma 2010, di Melaka, Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain