suria

Suhardi Hassan Kuasai Peringkat Keempat JM2010

SUNGAI PETANI: Pelumba senior kebangsaan, Suhardi Hassan membuktikan kehebatannya apabila menjuarai peringkat keempat perlumbaan Jelajah Malaysia 2010 di sini hari ini.

Pelumba berusia 28 tahun dari Kangar, Perlis itu yang pertama tiba di garisan penamat peringkat keempat JM2010 sejauh 93.1km dari Auto City Juru di Pulau Pinang hingga ke Sungai Petani dengan catatan masa dua jam, enam minit dan 36 saat.

"Untuk peringkat keempat hari ini, saya bersama-sama rakan sepasukan, Wan Mohd Najmee Wan Mohamad, Fallanie Ali dan Mohd Khuzairi Abu Bakar cuba untuk memecah peloton.

"Memandangkan jarak kayuhan yang pendek, kira-kira 100 meter daripada kilometer permulaan kami telah memulakan asakan. Kerjasama sepasukan banyak membantu kejayaan hari ini," katanya yang mewakili pasukan Wilayah Persekutuan.

Kejayaan meraih kejuaraan peringkat hari ini adalah yang kedua buat Suhardi dalam siri perlumbaan Jelajah Malaysia selepas penyertaan beliau pada 2003.

Menurut Suhardi, beliau mahu menjadikan penyertaan pada edisi ke-45 Jelajah Malaysia sebagai bukti bahawa beliau masih berkemampuan memberikan saingan dalam perlumbaan basikal lebuh raya seperti ini.

"Sasaran saya kini ialah untuk turut dipilih mewakili negara pada Sukan Asia nanti," katanya. Menyentuh mengenai peringkat terakhir Jelajah Malaysia 2010 esok, Suhardi berkata kemenangan peringkat keempat hari ini memberi suntikan semangat kepada pelumba dalam pasukan Wilayah Persekutuan untuk memberikan saingan yang kuat kepada pasukan pendahulu.

"Esok, laluan adalah agak panjang, jadi saya dan pelumba lain dalam pasukan akan cuba memberi saingan kepada pasukan pendahulu. Sementara bagi saya secara peribadi, saya sendiri akan cuba untuk mendapatkan mata pada zon pendakian," kata Suhardi, yang mempunyai kepakaran dalam pendakian.

Selepas melalui empat peringkat perlumbaan, Suhardi kini berada di tempat ketiga dalam kategori Raja Bukit dengan mengutip empat mata, di belakang pendahulu, Matnur, pelumba Indonesia yang mewakili pasukan Polygon Sweet Nice dan Johann Rabie daripada Team Medscheme, masing-masing dengan lapan dan tujuh mata.

Pada peringkat terakhir perlumbaan Jelajah Malaysia 2010 esok, para pelumba berkayuh sejauh 195km dari Sungai Petani ke Kuala Perlis dengan melibatkan satu zon pendakian di Bukit Tanjung Jaga dan dua zon pecut iaitu di Menara Alor Setar dan Arau.

Sementara itu, pelumba Ireland David McCann daripada pasukan Giant Asia Racing Team terus mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul masa 14 jam 18 minit 10 saat.

Begitu juga dengan pemegang jersi hijau (Raja Pecut) dan jersi merah (Raja Bukit) yang tidak bertukar tangan. Jersi hijau masih menjadi milik pelumba Afrika Selatan Lange Malcom daripada Team Medscheme dengan 42 mata, manakala jersi merah masih menjadi milik Matnur dengan lapan mata.

Dalam pada itu, pelumba negara Amir Mustafa Rusli masih menguasai jersi putih dengan mendahului kategori pelumba terbaik Asean serta jersi biru, selaku pelumba tempatan terbaik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain