suria

Azizulhasni, Nicol Tepati Ramalan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah utama Anugerah Sukan Negara 2009 kepada Mohd Azizulhasni Awang. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah utama Anugerah Sukan Negara 2009 kepada Mohd Azizulhasni Awang. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah utama Anugerah Sukan Negara 2009 kepada Mohd Azizulhasni Awang. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN

KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang dan jaguh skuasy, Datuk Nicol Ann David menepati ramalan ramai apabila dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2009 pada Majlis Anugerah Sukan Negara di sini, malam tadi.

Pencapaian terbaik Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Roket Man apabila meraih pingat perak dalam pecut 200 meter pada Kejohanan Trek Basikal Dunia di Poland, Mac tahun lalu membolehkan anak jati Terengganu itu mengetepikan pencabar terdekat, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai kejohanan berprestij All-England baru-baru ini.

Dia merupakan pelumba Malaysia pertama yang memenangi pingat pada Kejohanan Trek di Pruszkow itu.

Hakikatnya, kejayaan sepanjang tahun lalu termasuk meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), juara pusingan kedua Piala Dunia Klasik dan juara pecut Grand Prix Medellin di Colombia sudah cukup melayakkannya meraih anugerah tertinggi sukan negara itu.

Pelumba berusia 22 tahun itu kini menduduki ranking pertama dunia dalam acara keirin sehingga Mac ini (penghujung musim) dan ranking ketujuh dalam acara pecut.

Sementara itu, lebih manis buat Nicol apabila berjaya mempertahankan gelaran tersebut buat kali ketujuh dalam tempoh 10 tahun.

Beliau merupakan atlet pertama dan paling banyak memenangi anugerah Olahragawati Kebangsaan yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

Pencapaian cemerlang Nicol di gelanggang sepanjang tahun lalu menjadikan beliau pilihan utama dan sukar dicabar atlet wanita lain.

Prestasi Nicol tidak dapat disangkal lagi apabila dia menguasai ranking pertama dunia selama 45 bulan sejak Ogos 2006 sehingga Disember tahun lalu.

Sepanjang tahun lalu, atlet kelahiran Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan Terbuka Texas, Terbuka Seoul, Terbuka CIMB Malaysia, Terbuka Wanita CIMB Singapura, Terbuka Cathay Pacific Gale Well Hong Kong dan Terbuka Dunia FOREXX.

Kemuncak kejayaan Nicol tahun lalu apabila muncul pemain pertama memenangi Terbuka Malaysia buat kali kelima berturut-turut sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1975.

Azizulhasni dan Nicol masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Azizulhasni berjaya mengetepikan saingan Chong Wei (badminton), Daniel Bego (renang), Sazali Samad (bina badan), Zulmazran Zulkifli (tenpin boling), Muhammad Farkhan (tinju), Muhamad Hatta Mahamut (karate) dan Loh Jack Chang (wusyu).

Nicol pula menewaskan gandingan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui (badminton), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling) Siow Yi Ting (renang), Noraseela Khaled (olahraga) dan Jamaliah Jamaluddin (karate).

Senarai Penerima Anugerah Sukan Negara 2009

Olahragawan Kebangsaan: Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan: Datuk Nicol Ann David

Pasukan Lelaki Kebangsaan (Bola Sepak): Ahmad Fakri Shaarani Amar Rohidan Mazlizam Mohamad Mohd Farizal Marlias Mohd Baddrol Bakhtiar Mohd Sabre Bin Mat Abu Mohd Amirulhadi Zainal Mohd Asraruddin Putra Mohd Nasriq Baharom Kunalan Subramaniam Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak Mohamad Zakuan Adha Abd. Razak Abdul Manaf Mamat Mohd Sharbinee Allawee Ramli Gurusamy Govandar Kandasamy Mahalli Jasuli Mohamad Muslim Ahmad Mohamad Azmi Muslim Norshahrul Idlan Talaha Safiq Rahim

Pasukan Wanita Kebangsaan: Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong (Akuatik-Terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Mohamad Salam Sidek (Memanah)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Norhayati Binti Sarnoh (Boling Padang)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Rajagobal Krishnasamy (Bola Sepak -Lelaki) Yoong Thong Foong (Wushu)

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Tiada Pemenang

Anugerah Kepimpinan Kebangsaan: Edmund Yong (Golf)

Anugerah Tokoh Sukan: Tiada Pemenang

Anugerah Khas: Dr Ponniyah Thulukanam (Karate)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain