suria

Skuad Piala Uber Mampu Cipta Kejutan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yakin skuad wanita Piala Uber negara mampu mencipta kejutan besar pada kejohanan Piala Uber yang akan berlangsung 9 hingga 16 Mei di Stadium Putra Bukit Jalil.

Beliau berkata, pemain badminton wanita negara berjaya memenangi emas pada Sukan Sea di Laos tahun lalu walaupun mereka bukan pasukan pilihan.

"Saya yakin skuad Piala Uber mampu ulang kejayaan yang sama. Bukan sahaja mereka mampu sampai ke peringkat separuh akhir tetapi lebih daripada itu," katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra dan makan tengah hari bersama pasukan Piala Thomas dan Uber negara di sini hari ini.

Pendapat Ahmad Shabery turut dipersetujui pengurus kedua-dua pasukan, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah.

"Ketika di Laos, tak sangka pemain wanita boleh mendapat emas, mengapa tidak dalam Piala Uber? Mereka cuma perlu cuba bersungguh-sungguh," kata Syed Abu Bakar. Ketua pasukan negara Wong Pei Tty berkata, beliau dan rakan-rakan menetapkan sasaran untuk menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir buat pertama kali walaupun sedar tugas itu sukar.

"Kita akan berjuang habis-habisan dan memberikan yang terbaik," katanya. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama China dan Amerika Syarikat dan dilihat berpeluang untuk sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, kecederaan yang menimpa perseorangan kedua Lydia Cheah dan perseorangan ketiga Julia Wong sedikit sebanyak mengganggu percaturan awal pasukan itu.

Masalah itu memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar permohonan pertukaran pemain kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Selasa lalu.

Cheah yang menduduki ranking ke-63 dunia dijangka digantikan pemain pelapis yang berada di ranking ke-99, Sanatasah Saniru, manakala Wong akan digantikan oleh pemain skuad remaja, Sonia Cheah.

Sehingga kini BWF masih belum memberi jawapan mengenai perkara itu, kata Ketua Jurulatih Rashid Sidek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain