suria

Barisan Skuad Piala Uber M'sia Mungkin Berubah

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Piala Uber Malaysia bakal berubah sekiranya Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerima permohonan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menukar dua pemain perseorangan wanita yang tercedera.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata, permohonan bagi menggantikan Lydia Cheah (perseorangan kedua) dan Julia Wong (perseorangan ketiga) yang masing-masing cedera di lutut, telah dihantar kepada BWF semalam.

"BAM kini menunggu keputusan BWF. Keputusan itu akan dibuat oleh pengadil perlawanan BWF," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kenny berkata, berdasarkan peraturan BWF, Malaysia boleh menggantikan pemain atas alasan kecederaan tetapi pemain gantian itu mesti berada di ranking yang lebih rendah daripada pemain yang digantikan.

Berdasarkan ranking dunia, Lydia yang menduduki ranking ke-63 dunia mungkin akan digantikan oleh pemain pelapis yang berada di ranking ke-99, Sanatasah Saniru manakala Julia (147) diganti oleh pemain skuad remaja, Sonia Cheah (280).

Barisan awal skuad Piala Uber negara ialah Wong Mew Choo, Julia, Lydia, Tee Jing Yi (perseorangan) dan Chin Eei Hui/Wong Pei Tty, Woon Khe Wei/Vivian Ho, Goh Lui Ying/Ng Hui Lin (beregu).

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China dan Amerika Syarikat dalam kempen Piala Uber. Ketua jurulatih perseorangan Malaysia Rashid Sidek berkata Malaysia sememangnya berharap dapat menggantikan kedua-dua pemain perseorangan yang tercedera.

"Sekiranya BWF menolak permohonan itu, Lydia dan Julia akan terus berada dalam barisan Piala Uber.

"Tetapi pastinya kecederaan mereka akan menghalang Malaysia daripada mencatat keputusan yang baik kerana kedua-dua mereka merupakan pemain berpengalaman dan tulang belakang skuad," katanya.

Terdahulu, skuad Piala Thomas dan Uber negara malam ini mengadakan latihan simulasi di Stadium Juara, Bukit Kiara, bagi membiasakan pemain merasai bahang suasana pertandingan sebelum kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 9-16 Mei.

Perlawanan simulasi ini melibatkan perlawanan sesama sendiri dan ditonton oleh 200 peminat.

Skuad perseorangan Piala Thomas dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Tan Chung Seang sementara beregu dianggotai oleh Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Tazari dan Hoon Thien How/Ong Soon Hock. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain