suria

KBS Pastikan Penggantungan MTA Diselesai Dalam Masa Singkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya masalah penggantungan Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) akan diselesaikan dalam masa yang singkat selepas penerimaan baik persatuan taekwando negeri dan kelab taekwando di seluruh negara terhadap penubuhan jawatankuasa penaja Taekwando Malaysia (TM).

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata TM yang dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar diterima baik bagi mengatasi masalah penggantungan MTA sejak 2005.

"Dengan penerimaan positif daripada persatuan negeri dan kelab, perkara ini dapat diselesaikan dengan singkat. Masalah taekwando dalam negara ini juga ada berkaitan dengan Korea Utara dan Korea Selatan apabila wujud persatuan taekwando dunia yang berbeza-besa," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata kementeriannya sangat prihatin terhadap perkembangan taekwando dalam negara kerana sukan itu melibatkan atlet dari pelajar sekolah, angkatan tentera dan juga pelajar universiti.

Beliau mengulas cadangan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) supaya Pesuruhjaya Sukan menarik balik penggantungan MTA kerana ia boleh menjejaskan minat remaja untuk menyertai sukan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain