suria

Pelumba N.Sembilan Juarai Acara 91.3 Km Lumba Basikal Remaja Kebangsaan

KANGAR: Pelumba Negeri Sembilan Abdul Rashid Ibrahim muncul juara acara 91.3 kilometer lelaki peringkat umur 17 dan 18 tahun pada kejohanan lumba basikal remaja kebangsaan di sini hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa dua jam, 21 minit dan sembilan saat (2:21.09) untuk meninggalkan pencabar terdekatnya dari Kedah Mohd Ayub Mohd Radzi yang mencatat masa 2:51.59.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Pahang Wan Mohd Syazwan Wan Hassan yang mencatat masa yang sama dengan Mohd Ayub. Bagaimanapun keputusan berpihak kepada Mohd Ayub berdasarkan kedudukan foto penamat.

Bagi acara 74 kilometer lelaki peringkat umur 16 tahun, pelumba Kuala Lumpur Muhammad Imran Mohd Zubir muncul juara dengan masa 1:56:50 manakala pelumba Sekolah Sukan Bandar Penawar Mohamad Al-Azani Zainal di tangga kedua dan ketiga disandang oleh pelumba Kedah Mohd Nasrullah Ismanizam.

Acara 74 kilometer perempuan peringkat umur 17 dan 18 tahun, pelumba Pulau Pinang Siti Nur Shahirah Zainol muncul juara dengan catatan masa 2:25:50 diikuti rakan senegerinya Nurazimah Abd Rashid (2:33.22) dan ketiga ialah pelumba Kedah Aisyah Puteh (2:33.22).

Bagi acara 74 kilometer perempuan 16 tahun, tempat pertama dimenangi pelumba Pahang Nurul Nadia Mohamad Fauzi (2:25.50), kedua pelumba Kedah Nurjeha Iwani Roslan (2:30:46) dan ketiga ialah pelumba Perak Nor Syazwana Mohd Jamil (2:31:27).

Kejohanan sirkit kedua selama tiga hari itu dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis (PBPS). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain