suria

Rosalinda Korbankan Pengajian, Tumpu Sukan Komanwel & Asia

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu terpaksa mengorbankan lagi tempoh pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Roslinda yang masih mempunyai tempoh empat semester lagi untuk menamatkan pengajiannya berkata saingan peringkat tinggi pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia mampu melonjakkan lompatannya untuk memecahkan rekod kebangsaan 4.40m yang dilakukan di Jerman, tiga tahun lepas.

"Ini tahun keempat saya di UPM. Saya terpaksa memanjangkan tempoh pengajian untuk menjalani latihan dan bertanding.

Demi komitmen kepada pengajian dan olahraga, saya mengorbankan hari cuti Sabtu dan Ahad untuk berlatih," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Pemenang pingat emas pada Sukan SEA Laos Disember lepas dengan catatan 4.15m kini menjalani latihan intensif di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di bawah bimbingan jurulatih peribadi, Mansahar Abdul Jalil.

Roslinda telahpun menempah tiket ke Sukan Komanwel di New Delhi yang akan diadakan pada 3-14 Okt dan Sukan Asia di Guangzhou pada 13-21 Nov ini.

Beliau berkata latihannya kini lebih menekankan teknik lompatan bagi menghadapi saingan sengit atlet China pada Sukan Asia dan peserta dari England pada Sukan Komanwel dalam usaha mendapatkan pingat dalam acara itu.

Pada Sukan Asia di Doha 2006, Roslinda meraih pingat perak dengan catatan 4.35m sementara di Sukan Komanwel di Melbourne pada 2006, dia hanya mampu menduduki tempat keempat dengan lompatan 4.25m.

Bagi memantapkan persediaan untuk menghadapi kedua-dua temasya tersebut, Roslinda akan menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia yang akan diadakan pada 24-26 Feb ini di Tehran, Iran.

Selain itu, katanya beliau juga mahu mempertahankan hatrik emas dalam acara lompat bergalah Sukan SEA, bermula dengan Sukan SEA di Manila (2005), Korat (2007) dan Laos (2009), pada temasya dwi-tahunan itu di Indonesia tahun hadapan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain