suria

Cadangan LTdL Kembali Ke Langkawi Disambut Baik

LANGKAWI: Cadangan penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) supaya satu daripada peringkat perlumbaan itu diadakan semula di Langkawi mendapat sambutan baik beberapa pihak di sini.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, sambil mengalu-alukan cadangan itu, berkata ia dapat memenuhi matlamat asal penganjuran perlumbaan itu untuk mempromosikan Langkawi sehingga ke peringkat dunia.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Mohamed Salleh dilaporkan berkata semalam bahawa secara prinsipnya, pengurusan LTdL bersetuju agar Langkawi kembali dijadikan satu daripada peringkat perlumbaan itu mulai tahun depan.

Ahad lepas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu orang yang bertanggungjawab mengilhamkan penganjuran LTdL melahirkan rasa kecewanya kerana Langkawi tidak dimasukkan sebagai laluan LTdL sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kali terakhir perlumbaan LTdL diadakan di Langkawi ialah pada 2003, dengan pelumba mengelilingi pulau legenda itu sejauh 9.5 kilometer. Abu Bakar berkata, beliau yakin penganjuran LTdL akan memberi manfaat besar kepada industri pelancongan dan penduduk Langkawi. Presiden Kelab Rekreasi Langkawi Datuk Mansor Ismail turut mengalu-alukan langkah membawa LTdL kembali ke Langkawi.

"Memang wajarnya sangat LTdL kembali beraksi di Langkawi kerana ia bermula di pulau peranginan ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Agen-agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah, Pishol Ishak turut menyambut baik langkah itu dan yakin kehadiran pelancong akan bertambah. Perlumbaan LTdL 2010 sejauh 1,001.8 kilometer itu dari 1 hingga 7 Mac ini akan disertai 120 pelumba dari 20 pasukan.

Ia bermula di Kota Bharu, Kelantan, menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain