suria

Guus Hiddink Pengurus Baru Turki

GUUS HIDDINK PENGURUS pasukan kebangsaan Rusia yang pernah mengambilalih peranan sebagai pengurus Chelsea buat sementara waktu selepas mereka menyingkirkan Scolari musim lepas, telah dilaporkan menandatangani kontrak selama dua tahun untuk melatih Turki.

Pengurus berbangsa Belanda itu telahpun membuat satu pengumuman yang mengejutkan minggu lalu bahawa beliau dalam proses untuk melepaskan jawatannya sebagai pengurus Rusia pada musim panas akan datang.

Kini, tugas utama Hiddink ialah untuk memastikan Turki layak ke pusingan akhir Kejohanan Negara-Negara Eropah 2012.

Menurut perjanjiannya dengan Persekutuan Bolasepak Turki, Hiddink mempunyai opsyen untuk menyambung kontraknya selama dua tahun lagi selepas kontraknya tamat.

Pelantikan Hiddink ke jawatan barunya itu menamatkan segala spekulasi yang beliau akan menguruskan sebuah pasukan dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.

Pengurus berusia 63 tahun itu yang berjaya membawa Chelsea ke kejuaraan Piala FA dalam tempoh singkatnya bersama kelab itu musim lalu sebelum ini dikaitkan dengan Manchester City dan yang terbaru Liverpool.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain