suria

Malam Penuh Gemilang Bila Kuda Tua dan Kuda Muda Tunjuk Keajaiban

MILAN: Kombinasi kuda tua dan muda nampaknya amat jelas sekali mewarnai perlawanan penuh menarik dan one touch football yang dipersembahkan oleh dua gergasi Eropah iaitu Manchester Utd (Man Utd) dan AC Milan (Milan) dalam 'pusingan 16' Piala Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Malah daripada lima gol yang dijaringkan semalam, tiga daripadanya adalah hasil sentuhan tiga kuda tua iaitu Ronaldinho, Paul Schole dan Clarence Seedorf - kesemuanya berusia 34 tahun ke atas.

Jika tidak kerana gandingan mantap generasi muda yang diketuai oleh Wayne Rooney, Darrent Fletcher, Antonio Valencia dan JS Park, sudah pasti, perlawanan awal pagi tadi menjadi gelanggang pemain-pemain senior memperlihatkan kehebatan mereka.

Manakan tidak, gol pertama yang dijaringkan seawal minit ke tiga perlawanan berlangsung adalah hasil hantaran sepakan percuma David Beckham yang berusia 34 tahun untuk Ronaldinho menyudahkannya.

Tidak lama kemudian iaitu pada minit ke-36, seorang lagi kuda tua, kali ini bagi pihak Man Utd pula iaitu Paul Schole menolak masuk bola yang berpuing ke sisi kiri gawang gol Milan tanpa dapat diselamatkan oleh Dida.

Dan sebelum Wayne Rooney menyeimbangi penguasaan golongan muda pada minit ke-66 dan 74, seorang lagi kuda tua, iaitu Seedorf menguis bola ke gawang Man Utd menggunakan kaki belakang untuk mengurangkan defisit Milan.

Dan jaringannya itu adalah hasil hantaran Ronaldinho dari dalam kotak penalti.

Sememangnya pertembungan dua jaguh Eropah ini sangat menarik dengan persembahan one touch football oleh kedua-dua pasukan.

Misalnya adalah sangat menghiburkan apabila melihat gerakan antik Ronaldinho dengan kemampuannya menggerakkan bola menggunakan kedua-dua belah kakinya yang masih lincah.

Malah jika tidak kerana rembatan yang tersasar dan juga kerana kepantasan Edwin Van De Sar, Ronaldinho sepatutnya menambah jaringannya lagi.

Pada sudut yang lain pula, sepanjang kunjungan mereka ke San Siro, Man Utd tidak pernah melepasi gawang Milan, tetapi kali ini mereka bukan sahaja menyumbat 3 gol selepas ketinggalan 1-0 malah menundukkan Milan 3-2.

Keputusan ini memberi kelebihan kepada Utd yang hanya memerlukan seri malah jika tewas 0-1 sekali pun dalam perlawanan kedua di Old Trafford nanti, mereka akan melangkah ke pusingan suku-akhir.

Milan harus menarik nafas lega kerana mereka berjaya mengurangkan defisit gol dengan menjaringkan dua gol tetapi mereka perlu lebih bersyukur kerana pada malam yang disifatkan oleh para pengulas sebagai malam persembahan hambar Wayne Rooney, penyerang Inggeris itu masih mampu memboloskan dua gol untuk dirinya sendiri.

Bayangkan Rooney pada malam puncak, entah bagaimana dia menjarah pertahanan Milan hanya tuhan sahaja yang tahu.

Malah Milan juga patut menarik nafas lega kerana dalam perlawanan kedua di Manchester nanti, Michael Carrick terpaksa direhatkan kerana telah mengutip kad kuning yang kedua yang menyaksikan dia dibuang padang pada saat-saat akhir sebelum wisel penamat dibunyikan kerana menendang bola selepas pengadil memberikan sepakan percuma kepada Milan di atas kekasaran Patrice Evra.

Leonardo, pengurus muda Milan yang pernah dibimbing oleh Carlo Anchelotti yang kini mengurus Chelsea berjudi nasib dengan membariskan tiga penyerang - Alexandre Pato, Klaas-Jan Huntelaar dan Ronaldinho.

Pada mulanya gandingan ini kelihatan seperti mengancam kerana seawal minit ke-3 Ronaldinho telah pun mengamatkan stadium San Siro melalui jaringannya.

Para penonton menyorak dengan kepercayaan Milan telah menemui semula sentuhan lamanya dan penguasaan Internazionale dalam Serie A akan dapat dilupakan buat seketika. Tetapi di sebalik memperlihatkan sentuhan yang menawan mereka gagal membolosi gawang Utd.

Sebaliknya, Utd memperkukuhkan kepercayaan yang mereka dapat mengubah sejarah di sini dan orang yang mengubah segala-galanya tidak lain dan tidak bukan hero mereka Wayne Rooney.

Malah Antonio Valencia juga kini semakin memperkukuhkan reputasinya sebagai pemain gantian yang penting apatah lagi pada malam yang menyaksikan kemagikan Nani tiba-tiba serba tidak menjadi pada separuh masa kedua.

Tetapi itu tidak sedikit pun kelihatan membimbangkan Sir Alex Ferguson. Ketika Nani keluar, pengurus Utd itu masih mampu mengukirkan senyuman, menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Nani dan kemudian menepuk bahu Nani seolah-olah memberitahu tidak apa jika anda tidak menjadi malam ini kerana kita ada Valencia untuk menghabiskan malam yang penuh gemilang itu.

MILAN: Nelson de Jesus Dida, Alessandro Nesta, Daniele Bonera, Thiago Silva, Luca Antonini (Giuseppe Favalli, 37), Andrea Pirlo, Massimo Ambrosini, David Beckham (Clarence Seedorf, 72), Alexandre Pato, Klaas-Jan Huntelaar (Filippo Inzaghi, 77), Ronaldinho.

MAN UTD: Edwin van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Da Silva Rafael (Wes Brown, 90), Jonny Evans, Ji-Sung Park, Michael Carrick, Luis Carlos Nani (Luis Antonio Valencia, 64), Paul Scholes, Darren Fletcher, Wayne Rooney.

Artikel Berikut

Artikel Lain