suria

Beckham Kembali Bertemu Utd, Maurinho Jumpa Chelsea

MILAN: David Beckham tidak pernah bermain menentang bekas kelabnya Manchester United (Man Utd) sejak meninggalkan kelab itu tujuh tahun lalu.

Tetapi segala-galanya akan berubah awal pagi ini apabila AC Milan menerima kunjungan Man Utd dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Siro. Beckham kini bermain dengan Milan secara pinjaman daripada kelab Amerikanya, LA Galaxy. Liga Amerika telahpun tamat.

Perlawanan yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran ESPN tepat jam 3.40 pagi ini disifatkan oleh para pengulas sukan sebagai perlawanan terhebat dalam pusingan 16 pasukan yang akan bermain timbal-balik mulai malam ini.

Pusingan ini adalah pusingan kalah mati. Pasukan yang menang secara agregat ini akan melangkah ke peringkat suku-akhir.

Selain perlawanan antara Milan dan Man Utd, Turut ke gelanggang malam ini ialah Lyon dan Real Madrid. Perlawanan di antara gergasi Perancis dan Sepanyol ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Starsports pada waktu yang sama.

Dan sudah pastinya peminat bolasepak akan mengaru kepala yang mana satukah yang menjadi pilihan untuk ditontoni kerana dua perlawanan awal pagi ini akan berlangsung pada waktu yang sama.

Awal pagi esok pula (17 Feb) akan berlangsung dua lagi perlawanan iaitu di antara Porto dan Arsenal. Di Munich pula, Bayern Munich akan menerima kunjungan wakil Itali, Florentina yang kini menduduki tangga ke 11 Serie A.

Lima hari kemudian iaitu pada 23 Febuari, satu lagi kelab Jerman, Stuttgart akan menerima tetamu yang digeruni Barcelona sementara wakil tunggal Greece, Olympiacos menerima kunjungan satu lagi kelab Perancis, Bordeaux.

Sehari selepas itu pada 24 Febuari, wakil tunggal Rusia CSKA Moscow akan berdepan dengan Sevilla dan di Itali, Inter Milan akan bertembung dengan Chelsea.

Sepertimana David Beckham, di Milan, Jose Mourinho akan berdepan dengan kelab yang pernah dibimbingnya.

Kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan. Mereka pernah menjulang Piala Juara-Juara Eropah bersama bekas kelab masing-masing dan diketahui sangat dan masih menyayangi kelab mereka itu.

Yang pasti ialah para penonton ingin melihat bagaimanakah Beckham dan Maurinho menunjukkan reaksi apabila terpaksa berdepan dengan kelab yang pernah mereka terajui dan masing-masing pernah memenangi piala yang sama di sana.

David Beckham telah dipetik oleh Sunday Times sebagai berkata bahawa beliau mampu berdepan dengan situasi sukar ini walaupun perasaannya bercampur baur.

Sejak meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2003, inilah buat pertama kalinya Beckham akan berdepan semula dengan pasukan lamanya dalam satu pertandingan kompetatif.

Pemain berusia 34 tahun itu menghabiskan masa selama 10 musim dengan Man Utd, selepas bakat semulajadinya dikesan oleh Sir Alex Ferguson ketika dia masih di Akademi Bolasepak Man Utd lagi.

Sejak menyertai semula Milan secara pinjaman bagi memastikan kecergasannya berada di tahap yang maksimum untuk menjamin tempatnya bersama skuad kebangsaan England, Beckham telah bermain dalam kesemua perlawanan kecuali dua perlawanan terakhir Milan.

Kehadiran bintang Inter, Mancini bersama skuad Milan menerusi perpindahan Januari baru-baru ini dan kemunculan semula Alexandre Pato daripada rehat panjang kerana kecederaan telah menyaksikan Beckham berada di bangku simpanan sebagai pemain back-up kepada kedua-dua pemain tengah itu.

Pertembungan Milan-Man Utd awal pagi ini juga merupakan kali yang kelima pada peringkat kalah mati dalam kejuaraan Eropah.

Man Utd telah memenangi tiga daripada empat perlawanan di tempat sendiri dengan Milan tetapi tidak pernah melepasi Milan di tempat lawan iaitu tewas dalam kesemua empat perlawanan di San Siro.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu, Man Utd menang 3-2 di Old Trafford tetapi bintang Brazil Kaka telah memastikan Milan melangkah ke pusingan suku-akhir dengan kemenangan 3-0 di San Siro.

Milan kemudiannya berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan menewaskan Liverpool 2-1 untuk merangkul kejuaraan Eropah mereka yang ketujuh.

Malah Milan sendiri melihat pertembungan dengan Man Utd pada kejuaraan Piala Eropah ini sebagai satu petanda baik kerana sejarah telah membuktikan setiap kali mereka ditakdirkan bertemu dengan Utd, mereka akan melangkah ke pertandingan akhir.

Perlu disebut, tiga daripada empat pertembungan mereka dengan Man Utd sebelum ini adalah di peringkat separuh akhir.

Jadi dari sudut sejarah nampaknya Milan mempunyai kelebihan ke atas Utd. Tetapi pada masa yang sama, barang diingat, pasukan Milan hari ini bukanlah lagi Milan yang dahulu.

Kini Milan tidak lagi memiliki Kaka yang telah berpindah ke Real Madrid. Pemain yang masih kekal bersama Milan seperti Andrea Pirlo, Clarence Seedorf, Alessandro Nesta, Gennaro Gattuso, Ronaldinho malah Beckham telahpun memasuki usia 30an.

Tetapi ada di kalangan kuda tua ini telah memperlihatkan kemunculan kembali bakat semulajadi mereka dengan sentuhan berbisa sepertimana Ronaldinho dan juga Beckham.

Malah Rooney ketika ditanya siapakah pemain Milan yang paling dia geruni dan paling sukar untuk ditembusi, jawapannya ialah Seedorf.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain