suria

Vorarlberg-Corratec Sasar Jersi Kuning LTdL 2010

KUALA LUMPUR: Selepas memperoleh tempat ke-19 dalam kategori inidividu keseluruhan tahun lepas, sebuah pasukan dari Austria, Vorarlberg-Corratec mempertaruhkan pelumba baru mereka, Sebastian Siedler untuk merebut jersi kuning pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang akan berlangsung pada 1 hingga 7 Mac.

Pengurus Pasukan, Thomas Kofler berkata, Vorarlberg-Corratec mahu memperbaiki prestasi hambar mereka tahun lepas, yang menduduki tempat ke-14 keseluruhan dalam kategori pasukan manakala pelumba terbaik Vorarlberg, Silvere Ackermann hanya menduduki tempat ke-19 dalam kategori individu keseluruhan.

Siedler dari Jerman sebelum ini berlumba untuk pasukan profesional seperti Wiesenhof, Milram dan Skil Shimano, dan merupakan taruhan terbaik pasukan itu untuk merebut jersi kuning, yang diberikan kepada pelumba unggul dalam kategori individu keseluruhan.

Sepanjang pembabitannya sejak 2004, Siedler pernah memenangi Ruud um die Nurberger Altstadt, menduduki tempat ketiga dalam peringkat keenam Deutschland Tour, tempat kedua dalam peringkat pertama Paris-Nice, menjuarai satu peringkat Tour de Picardie, memenangi peringkat enam Post Danmark Rundt dan dua peringkat kejuaraan dalam perlumbaan Presidential Tour of Turkey 2009, dengan kedudukan tempat ketiga keseluruhan.

Pelumba lain bagi Voralberg-Corratec adalah empat warga Austria - Rene Haselbacher Josef Bennetseder, Christoph Sokoll, Phillip Ludesher dan seorang lagi warga Jerman, Rene Weissinger.

Temasya LTdL 2010, yang merupakan edisi ke-15, akan menyaksikan 20 pasukan menyertai tujuh peringkat perlumbaan yang akan bermula di Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain