suria

Dunga Punyai Keharmonian Skuad Untuk Menangi Piala Dunia - Scolari

Kapten pasukan Brazil, Cafu menjulang piala dunia pada kejohanan itu di Yokohama, Jepun.
Kapten pasukan Brazil, Cafu menjulang piala dunia pada kejohanan itu di Yokohama, Jepun.
Kapten pasukan Brazil, Cafu menjulang piala dunia pada kejohanan itu di Yokohama, Jepun.

RIO DE JANEIRO: Bekas jurulatih Piala Dunia Brazil, Felipe Scolari percaya pasukan negaranya di bawah kendalian jurulatih Dunga bakal memenangi Piala Dunia di Afrika Selatan Julai nanti kerana mereka memiliki keharmonian berpasukan sepertimana pasukan yang dibimbingnya pada tahun 2002.

"Mereka bagaikan satu ikatan keluarga yang sangat kuat dan saya percaya penuh Brazil akan berada di perlawanan akhir dan akan memenangi perlawanan akhir itu nanti," kata bekas pengurus pasukan Chelsea yang berjaya menjulang Piala Dunia bagi pasukannya untuk kali yang kelima di Jepun/Korea pada tahun 2002.

Kata Scolari, daripada apa yang telah dimaklumkan oleh beberapa pemain dan juga staf pasukan Brazil sekarang, suasana di dalam kem latihan adalah sama sepertimana pasukan kebangsaan pada perlawanan akhir tahun 2002.

"Dan semua orang dapat merasakan melalui skuad ini, Brazil akan dapat menghasilkan sesuatu di Afrika Selatan nanti," ujar Scolari ketika ditemuramah oleh agensi berita Reuters dari Tashkent, Uzbekistan.

Scolari kini melatih kelab bolasepak Bunyodkor dari Tashkent.

Jurulatih berusia 61 tahun itu telah mewujudkan apa yang digelar "Keluarga Scolari" ketika membimbing skuad kebangsaan Brazil yang ketika itu sedang bergelut untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir di Jepun dan Korea Selatan.

Tetapi suasana kekeluargaan yang diwujudkannya itu telah melonjakkan semula skuad Brazil ke tahap yang maksimum sehingga membawa kejuaraan kali ke lima kepada Brazil.

Dan untuk itu Scolari telah menunjukkan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Dunga dalam usaha jurulatih baru Brazil itu mengekalkan skuad yang komited dan telah bergandingan bersama dari mula hingga akhir walaupun dalam proses itu terpaksa menguggurkan pemain-pemain ternama yang mendapat tempat di hati peminat dan juga media massa.

Situasi ini pernah dirasai Scolari sendiri pada kejohanan akhir Piala Dunia 2002 apabila beliau menahan desakan dan asakan demi asakan agar memanggil semula Romario - penyerang yang menjadi tonggak utama kemenangan Brazil pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Dunga kini sedang berhadapan dengan situasi seperti itu apabila beliau dikritik hebat kerana mengenepikan Ronaldinho untuk perlawanan persahabat Brazil dengan Ireland yang dijadualkan berlangsung di London bulan depan.

"Dunga telah membentuk satu pasukan Brazil yang baru yang mendapat penghormatan daripada anak buahnya, mewujudkan ikatan persahabatan yang kuat di antara mereka dan dia berjaya membentuk satu ikatan yang sangat kukuh di antara mereka dan saya tahu betapa pentingnya untuk memperolehi suasana seperti itu untuk sebuah skuad kebangsaan," tegas Scolari.

Kata Scolari, pesanannya kepada Dunga cuma satu iaitu teruskan dengan skuad yang ada sekarang tanpa rasa goyah dan takut.

Agak mengejutkan juga, Scolari turut menamakan skuad bimbingan Maradona sebagai salah satu pasukan pilihan untuk ke perlawanan akhir.

"Saya tidak tahu kenapa tapi pada firasat saya jika Argentina berjaya menyelesaikan formasi pasukan mereka, jika mereka dapat membentuk sebuah pasukan yang jitu, khususnya jika Messi dan Tevez dapat bermain dengan baik sepertimana yang mereka lakukan sekarang, Argentina turut berpeluang membuat kejutan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain