suria

Chu Sian, Arif Farhan Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemanah negara, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra mempamerkan panahan yang konsisten pada peringkat suku akhir acara Recurve individu lelaki pada Kejohanan Grand Prix Memanah Asia Pertama 2010 di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, di sini, hari ini.

Chu Sian, pemanah pilihan utama, berjaya menundukkan Ku Yuan-Hsiang dari Taiwan dengan 111-109 untuk meraih tempat di peringkat separuh akhir esok.

"Saya rasa prestasi saya menurun sedikit berbanding semalam tetapi saya gembira dapat melepasi peringkat ini. Saya sudah dapat kesan puncanya dan saya akan perbaiki untuk hadapi saingan acara berpasukan petang ini dan separuh akhir esok.

"Pada peringkat separuh akhir esok, saya tidak mahu meletakkan sasaran yang tinggi untuk elakan tekanan pada diri saya," katanya.

Beliau akan bertemu Gu Dong Nam dari Korea Selatan, yang melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Pawan Xai Xo dari India, 111-106.

"Ini kali pertama saya berlawan dengan dia walaupun pernah berjumpa dengannya dalam banyak kejohanan yang kami sertai. Korea Selatan mempunyai ramai pemanah," kata Chu Sian.

Sementara itu, Arif Farhan pula menewaskan seorang lagi pemanah Taiwan, Yu Hao-Chun, 107-104 untuk menempatkan diri dalam perlawanan separuh akhir dan akan bertemu pilihan kedua kejohanan, Lee Dong Wok dari Korea Selatan.

Lee pula mara ke separuh akhir selepas menundukkan rakan senegara, Kim Jae Hyeong, 112-109.

"Saya rasa prestasi saya lebih kurang sama seperti semalam...cuma saya perlu kuatkan keyakinan diri sahaja untuk menghadapi perlawanan esok. Ini adalah kali pertama saya melangkah ke separuh akhir dalam beberapa kejohanan Grand Prix.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik esok. Kejayaan menewaskan pilihan ketiga kejohanan (Kapil dari India) memberi dorongan kepada saya untuk terus memberikan saingan yang terbaik di sini," katanya.

Dalam acara Compound individu lelaki, Lang Hon Keong akan menentang rakan sepasukan, Muhammad Zaki Mahazan dalam perlawanan separuh akhir esok.

Terdahulu, Hon Keong terpaksa melalui pusingan penentuan ketika menentang Chinna Raju Srither dari India selepas terikat 114-114 tetapi kemenangan berpihak kepada Hon Keong dengan lebihan 10 mata berbanding Chinna Raju yang mendapat sembilan mata.

Muhammad Zaki pula menewaskan rakan sepasukan, Lau Siew Hong 113-112.

Acara Compound individu wanita juga menyaksikan pemanah Malaysia Nurhayati Al-Madihah Hashim akan menentang rakan sepasukan Nor Rizah Ishak pada perlawanan separuh akhir.

Nurhayati melayakkan diri selepas menewaskan seorang lagi pemanah negara, Saritha Cham Nong 113-107, manakala Nor Rizah menewaskan Gagadeep Kaur dari India, 116-109. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain