suria

Beng Hong Perlu Usaha Dengan Lebih Gigih Lagi - Misbun

JOHOR BAHRU: Kuan Beng Hong tidak memiliki elemen kejutan dalam dirinya untuk menumbangkan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei tetapi ia bukan bermakna segala-galanya sudah terkubur.

Walaupun kekalahan 17-21, 13-21 di tangan Chong Wei pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan semalam sudah dijangkakan, namun jurulatih negara Misbun Sidek tidak berputus asa terhadap Beng Hong.

Sebaliknya, Misbun ingin melihat Beng Hong menonjolkan semangat juang yang lebih tinggi dan meningkatkan tumpuan selain menampilkan elemen kejutan bagi memberi saingan.

Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan percaturan dalam menurunkan pasukan perseorangan terkuat pada pusingan akhir Piala Thomas, Mei ini, sudah pasti nama Beng Hong menjadi antara pilihan utama.

Bagaimanapun, persembahan pemain berusia 27 tahun itu ketika menentang Chong Wei telah menimbulkan persoalan mengenai kemampuannya untuk memberi cabaran terhadap pemain terbaik dunia pada Piala Thomas nanti.

Misbun berpendapat Beng Hong mempunyai kemahiran sebagai pemain bertaraf dunia tetapi tidak mempunyai strategi dan sikap yang diperlukan untuk mengatasi pemain pada saat-saat penentuan.

"Saya mahu dia meningkatkan tahap kecergasan supaya dapat bertahan lebih lama daripada lawannya. Dia tidak dapat menandingi Chong Wei dari segi kecergasan," kata Misbun.

Beng Hong akan menyertai Kejohanan Terbuka Jerman dari 2 hingga 7 Mac ini dan di situ Misbun berharap untuk melihat pemain kelahiran Kedah itu meningkatkan lagi tahap permainannya.

Misbun berkata Beng Hong perlu berusaha dengan lebih gigih tanpa sebarang alasan atau prestasi menurun.

"Dia tahu di mana kelemahannya dan apa yang perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya jika kecergasaannya berada pada tahap 100 peratus, mungkin dia mempunyai peluang untuk mengatasi pemain yang lebih baik daripadanya," katanya.

Bagi Beng Hong pula, cabaran Piala Thomas bukan sesuatu yang baru kerana pernah menjadi pemain perseorangan ketiga ketika skuad negara tewas 2-3 kepada Denmark pada separuh akhir edisi 2006.

"Saya tahu situasi semasa. Kekuatan mental merupakan kelemahan saya. Saya masih ingat ketika memulakan karier antarabangsa, saya memiliki stamina dan kekuatan tetapi tiada kemahiran terperinci.

"Tetapi lama kelamaan saya memperbaiki kemahiran tetapi tahap ketahanan saya merosot.

"Kini saya perlu mencari kaedah seimbang antara kecergasan dan kemahiran yang saya percaya boleh membantu karier saya," kata pemain itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Senarai Penjaring Terbanyak EPL

Artikel Lain