KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan dan KL Pos Malaysia antara 13 pasukan yang mara ke pusingan kedua saingan bola sepak Piala FA apabila menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan timbal-balik pusingan pertama semalam.
Negeri Sembilan, yang beraksi dalam Liga Super, mengalahkan Johor FC dengan jaringan 5-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dua daripada lima gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Mohd Asyraf Al Japril pada minit ke-79 dan 90, manakala masing-masing satu gol daripada Mohd Zaquan Adha Abdul Razak (49 min), S. Kunalan (52 min), dan K.Thanaraj (68 min).
Manakala, Johor FC memperolehi tiga jaringan menerusi dua gol oleh Eddy Helmi pada minit ke-66 dan 80 dan Mohd Irme Mat pada minit ke-74.
Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan layak ke pusingan kedua dengan aggregat 7-5 selepas pasukan 'Hobin Jang Hobin' itu seri 2-2 dalam perlawanan pertama.
Sementara, pasukan kelab KL Pos Malaysia yang beraksi dalam Liga Perdana, turut mencatat kemenangan besar dengan menundukkan Majlis Perbandaran (MP) Muar 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol-gol KL Pos Malaysia dijaringkan oleh Mohd Hanifuddin Abdul Rahman pada minit ke-25, Puaneswaran Gunasegaran (ke-46), Mohd Azirol Ramli (ke-50), Mohd Hafiz Mohd (ke-64) dan Khairul Zal Azmi (ke-90).
Gol saguhati MP Muar merupakan gol jaringan sendiri pemain KL Pos Malaysia Shahruddin Ismail (ke-68).
Dengan kemenangan itu, KL Pos Malaysia, pertama kali dalam sejarahnya melangkah ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan dengan aggregat 5-2 mengatasi MP Muar.
Pada perlawanan pertama, KL Pos Malaysia tumpas 0-1 ke atas MP Muar.
Selain daripada Negeri Sembilan dan KL Pos, pasukan-pasukan lain yang turut meneruskan cabaran ke pusingan kedua Piala FA adalah Selangor PKNS, Felda United FC, KL Plus, Kuala Lumpur, Polis, Perak, T-Team, Sarawak, Terengganu, Angkatan Tentera dan Kedah. BERNAMA


