suria

Skuad Memanah Negara Raih 5 Gangsa Pada GP Memanah Asia

KUALA LUMPUR: Skuad Memanah kebangsaan meraih lima pingat gangsa masing-masing tiga daripada acara Recurve lelaki individu, berpasukan dan berpasukan wanita manakala dua gangsa lagi dalam acara Compound individu lelaki dan wanita pada Kejohanan Grand Prix Memanah Asia Pertama 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Taman Keramat di sini hari ini.

Dalam acara Recurve individu lelaki, pemenang pingat perak Recurve berpasukan Sukan SEA Laos, Arif Farhan Ibrahim Putra menewaskan pemanah Olimpian negara, Cheng Chu Sian dalam saingan penentuan pingat gangsa.

Arif Farhan, 19, menewaskan Chu Sian dengan keputusan 109-107, yang menyaksikan kedua-dua pemanah itu bersaing sengit sehingga pada satu ketika terikat 99-99 sebelum anak panah terakhir pada Ends keempat.

Bagaimanapun, Arif Farhan berkata berkat kejayaan mengawal emosi dan sentiasa berfikiran positif telah membantu beliau membidik dengan baik untuk memperolehi tambahan 10 mata berbanding Chu Sian yang hanya mendapat lapan mata.

"Kemenangan ini adalah satu bonus kepada saya. Saya tidak sangka yang saya dapat kalahkan Chu Sian," katanya.

Terdahulu, pada saingan peringkat separuh akhir, Arif Farhan tewas ditangan pemanah pilihan kedua kejohanan, Lee Dong Wook dari Korea Selatan 104-109, manakala Chu Sian pula tumpas kepada Gu Dong Nam juga dari Korea Selatan dengan 109-112.

Arif Farhan yang kemudiannya bergandingan bersama-sama Chu Sian dan Fazli Hisham Fauzi dalam acara berpasukan menewaskan trio dari Taiwan Yu Hao-Chun, Ku Yuan-Hsiang dan Hu Hsui-Yu dengan 208-206 untuk pingat gangsa kedua negara.

Sementara itu, dalam acara Recurve berpasukan wanita, pemanah-pemanah negara juga tidak menghampakan selepas diberi tentangan sengit oleh trio Taiwan Chang Chia Hung, Lin Chia Eu dan Yang Nien Hsiu.

Gandingan negara Noor Aziera Taip, Beatrice Wong dan S. Anbarasi terpaksa berdepan dengan tekanan selepas terikat 149-149 selepas Ends ketiga tetapi nasib menyebelahi mereka selepas berjaya menambah 52 mata pada Ends terakhir berbanding Taiwan yang hanya menambah 48 mata, untuk gangsa ketiga negara.

Pingat gangsa keempat dan kelima Malaysia diraih melalui Muhammad Zaki Mahazan dan Nurhayati Al-Madihah Hashim dalam acara Compound individu lelaki dan wanita.

Muhammad Zaki menewaskan Palton Hansda dari India dengan 114-111, manakala Nurhayati pula menewaskan Regyabat Chanmu juga dari India dengan 109-107.

Harapan pingat emas negara pada kejohanan itu kini terletak di bahu pemanah-pemanah acara Compound yang akan langsung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain