suria

Enam Pelayar Dipilih Sertai Latihan Di New Zealand

LANGKAWI: Enam pelayar elit dan pelapis kebangsaan dipilih menjalani latihan selama sebulan di Auckland New Zealand mulai esok dalam persiapan Malaysia menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, mereka ialah Ku Anas Ku Zainal, Muhammad Hafizuddin Mazelan, Kharulneesa Mohd Afendy, Norashikin Mohd Sayed, Razman Mat Ali dan Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri.

"Latihan itu akan dikendalikan jurulatih MYA, Andrew Brown dari New Zealand dan sebagai pendedahan pelayar terbabit juga akan menyertai kejohanan kebangsaan New Zealand," katanya.

New Zealand dipilih sebagai pusat latihan perahu layar kedua dalam persiapan Malaysia menghadapi Sukan Asia 2010. Pusat latihan utama ialah di kompleks sukan perahu layar kebangsaan di Langkawi.

Mengenai pencapaian skuad pelayar elit dan pelapis kebangsaan yang mewakili MYA/MSN pada KFC Regata Perdana Antarabangsa Langkawi 2010 ketujuh yang berakhir di sini malam tadi, Mohd Afendy berkata, kejayaan mereka membanggakan kerana hampir keseluruhan acara dikuasai pelayar itu.

MYA/MSN meraih kejuaraan bagi acara Laser Standard menerusi Kharulnizam Mohd Afendy, Mohd Amirul Shafiq (acara Byte CII), gandingan Ku Anas Ku Zainal dan Muhammad Hafizuddin Mazelan (Internasional 420), Razman Mat Ali/Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (International 470), Ahmad Latif Khan (Optimist) dan Kharulneesa Mohd Afendy/Norashikin Mohd Sayed (International 420 (wanita).

Seramai 200 pelayar menyertai kejohanan itu termasuk dari Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, India, Belgium, Iran, Sepanyol dan Hong Kong.

Regata Perdana Langkawi 2010 anjuran Persatuan Perahu Layar Kedah merupakan sirkit kebangsaan pembuka tirai MYA. Sirkit kedua akan berlangsung di Pulau Pinang pada akhir Februari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain