suria

Terengganu Tuan Rumah Jet Ski Dunia Bermula Khamis Ini

KUALA TERENGGANU: Tiga nama besar dalam sukan jet ski merupakan antara pelumba yang akan menyertai kejohanan Terengganu World Jetrace Challenge (TWJC) 2010 di perairan Pulau Duyong di sini selama tiga hari bermula Khamis ini.

Kejohanan julung kali diadakan anjuran bersama Tropical Marines Resource serta Club Terengganu Marina dan ditaja kerajaan Terengganu itu akan disertai dua juara dunia tiga kali iaitu Amy Green dam Chris Fischetti.

Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Marine Resource Raja Putra Shah Raja Shahar Shah berkata turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan berprestij itu ialah juara British Seth Wilkinson. " Kehadiran Fischetti, 42, yang merupakan juara dunia dalam kategori berdiri, slalom dan stand-up super, mengangkat martabat acara ini dan sudah pasti ditunggu-tunggu peminat jet ski. "Green juga bukanlah pelumba sembarangan kerana dia juga muncul juara dunia sebanyak tiga kali dan mendominasi kejohanan di Amerika Syarikat dengan 11 gelaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lebih 100 peserta dari Malaysia, Serbia, Thailand, Indonesia, Brunei, United Kingdom dan Singapura dijangka menyertai kejohanan TWJC 2010 itu.

Beliau berkata antara lain tujuan perlumbaan itu diadakan di sini ialah bagi mengangkat dan memasyhurkan nama Terengganu sebagai destinasi sukan pelancongan yang terbaik di negara ini.

Katanya kejohanan itu diadakan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin menjadikan negeri ini antara destinasi pelancongan sukan termasyhur dunia di mana Ri-Yaz Heritage And Resort Spa di Pulau Duyong sebagai gelanggang rasmi kejohanan itu.

Raja Putra Shah berkata TWCJ 2010 diadakan bermatlamatkan serampang dua mata di mana ia juga sebagai mempromosikan acara jet ski atau water craft di Terengganu.

Beliau berkata kejohanan yang melibatkan 10 kategori itu membabitkan antaranya profesional, muka baru dan peserta selebriti dan akan menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM87,500. BERNAMA

Artikel Lain