suria

Harimau Muda 'A' Akhirnya Dapat Nafas Baru Musim Ini

PETALING JAYA: Pasukan Harimau Muda 'A', yang menamatkan penantian negara selama 20 tahun untuk meraih emas pada Sukan SEA Laos Disember lalu, akhirnya akan menyertai liga bawah 21 tahun Slovakia selama tiga bulan mulai bulan depan.

Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak penyertaan pasukan itu dalam Liga Super dan kemudian Liga Singapura musim ini, persatuan itu merangka perancangan baru bagi pasukan tersebut tahun ini.

Timbalan Presiden FAM Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata pasukan itu dijadual bermain 14 perlawanan dalam Liga Slovakia selain beberapa perlawanan persahabatan semasa berada di negara itu.

Selepas Liga Slovakia Mei ini, pasukan kebangsaan bawah 21 tahun itu akan menyertai kejohanan Piala Obama di Amerika Syraikat pada Jun, menjalani latihan Indonesia pada Julai dan Piala Newspaper di Vietnam pada Oktober ini.

"Selain itu, kita juga ada beberapa perancangan lain bagi pasukan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Redzuan berkata dengan perancangan itu, skuad, yang menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, itu akan mendapat pendedahan yang mantap dari segi pertandingan kompetitif pada perlawanan antarabangsa.

Mengenai perbelanjaan pada saingan di Liga Slovakia, katanya pihaknya mampu dan akan cuba memasukkan mereka pada Liga M musim depan.

Sebelum itu, presiden FAM Sultan Ahmad Shah, yang mempengerusikan mesyuarat itu, melahirkan rasa terkilannya dengan kedegilan sesetengah anggota gabungan badan itu yang menyekat pasukan Harimau Muda 'A' beraksi dalam Liga Super musim ini.

Sultan Pahang itu menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang ketika skuad negara itu dibuai dengan kejayaan pada Sukan SEA Laos.

"Sepatutnya usaha ditingkatkan untuk membangunkan pasukan remaja itu sebagai bukti komitmen FAM terhadap pembangunan.

"Sebaliknya ini yang berlaku, menyebabkan kita dikritik seolah-olah FAM tidak tahu apa yang harus dibuat dalam menangani masa depan Harimau Muda A," katanya.

"Ini merupakan satu petanda tidak sihat kerana ada di kalangan kita (anggota gabungan) yang berterusan bertindak atas sifat tamak dan kepentingan sendri.

"Tindakan mereka ini memaksa FAM mencari alternatif lain apabila cadangan menghantar pasukan itu ke Singapura ditolak, selagi lagi FAM akan menjadi cemuhan," katanya.

"Siapa yang memaksa FAM berada dalam situasi ini?, " tanya baginda.

Nasib pasukan itu sebelum ini tidak menentu setelah jawatankuasa eksekutif FAM pada mesyuarat 7 Disember lepas telah memutuskan Harimau Muda 'A' tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super.

Ia menimbulkan persoalan kerana FAM pada peringkat awalnya telah merancang skuad itu untuk bermain di Liga Super setelah kejayaan menjuarai Liga Perdana musim 2009.

Keadaan menjadi semakin kusut apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah menolak permintaan FAM untuk menerima skuad itu bermain dalam Liga S pada minggu lepas.

Keputusan itu sekaligus memaksa skuad bawah 21 tahun kebangsaan itu yang mempunyai 20 pemain hanya turun menjalani latihan serta mengadakan perlawanan persahabatan.

Selain nasib pasukan Harimau Muda 'A' diputuskan, mesyuarat itu mengambil keputusan bahawa Piala FAM musim ini akan dijalankan sekiranya terdapat lapan pasukan yang bertanding.

Redzuan berkata hanya maksimum tiga pemain kebangsaan dibenarkan mewakili pasukan negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Melaka Jun ini.

"Kita juga ingin memaklumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan pembinaan satu padang futsal melalui 'FIFA Goal Project' di Wisma FAM," katanya.

Sementara itu, mengenai perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung program bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Everton FC, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata tiada perkembangan terbaru mengenai perkara itu.

"Kita masih menunggu mesyuarat jawatankuasa bersama (KBS, Majlis Sukan Negara, Kementerian Pelajaran dan FAM) untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Azizulhasni Kini Bergelar Suami

Artikel Lain