suria

Mohd Rizal Mahu Kembali Berkayuh

KUALA LUMPUR: Walaupun mengalami patah buku lali kaki kiri akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lepas, atlet berbasikal trek kebangsaan, Mohd Rizal Tisin bertekad untuk kembali bangkit bagi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Kemalangan itu tidak melemahkan sedikit pun semangat saya untuk terus berjuang malah sejak awal bulan ini saya menjalani latihan ringan di Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Mohd Rizal sebelum ini mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila memenangi pingat gangsa dalam acara kegemarannya 1km ujian masa pada Kejohanan Dunia, Poland pada Mac lepas.

Kejayaan itu turut menyaksikan pelumba kelahiran Klang, Selangor berusia 24 tahun itu mencatat rekod Asia dengan masa 1 minit 01.658.

Beliau dijadualkan untuk kembali berlatih di Melbourne, Australia bersama-sama atlet-atlet berbasikal trek yang lain pada penghujung Januari depan di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley.

"Saya telah berbincang dengan John mengenai perkara ini, dan beliau menasihatkan saya untuk kembali berlatih bersamanya bagi meningkatkan prestasi," katanya.

Mengenai peluangnya untuk layak ke Kejohanan Dunia di Denmark pada Mac tahun depan, beliau berkata ia masih samar kerana tidak menyertai tiga siri terdahulu kejohanan Piala Dunia Klasik (kejohanan untuk mengumpul mata).

"Selain itu, saya juga bakal terlepas pada siri terakhir (keempat) Piala Dunia Klasik di Beijing, China yang dijadualkan pada 22 hingga 24 Januari tahun depan" katanya.

Mohd Rizal merupakan antara pelumba berbasikal trek berbakat yang berjaya dilahirkan oleh MSN dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) setelah menjalani latihan di Australia selain Mohd Azizulhasni Awang.

Malah nama Mohd Rizal merupakan salah seorang daripada 19 atlet yang tersenarai di dalam program "Road To London 2012" yang bertujuan bagi mencari pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik. - BERNAMA

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain