suria

Rakyat Malaysia Penyumbang Di Sebalik Kejayaan Bola Sepak laos

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang tidak sedar, seorang rakyat Malaysia, Raja Mohd Firhad Raja Azidin, merupakan seorang daripada tulang belakang kejayaan pasukan bola sepak Laos yang menempa sejarah pertama kali mara ke perlawanan separuh akhir pada temasya Sukan SEA di Vientiane yang berakhir Jumaat lepas.

Raja Mohd Firhad, 34, merupakan jurulatih kecergasan bagi pasukan tersebut selama lima bulan bermula dari Julai sehingga tamat temasya di Vientiane itu.

Menceritakan pengalamannya ketika ditemui, Raja Mohd Firhad berkata segalanya bermula bila tuan rumah Sukan SEA ke-25 itu meminta Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mencarikan seorang jurulatih kecergasan bagi pasukan bola sepaknya.

"AFF kemudian berhubung dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kemudian memilih saya, yang ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah, ke Vientiane," katanya.

Raja Mohd Firhad yang tiba di negara tersebut pada Julai lepas berkata, dirinya agak terperanjat melihat kemudahan yang daif di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Laos, yang terletak di sebuah kawasan perkampungan, kira-kira 10 kilometer dari Vientiane. Beliau berkata, asrama pemain yang ditempatkan di sebuah bangunan dua tingkat, batu di bahagian bawah dan papan di bahagian atas, hanya mempunyai satu unit penyaman udara, berselerak serta tidak teratur.

"Saya kemudian menulis surat kepada persekutuan itu bagi memperbaiki keadaan supaya kondusif kepada pemain dan permintaan tersebut segera dipenuhi," katanya.

Tahap kecergasan pemain Laos ketika itu berada di peringkat rendah dan bukan di tahap saingan antarabangsa.

"Boleh dikatakan ketika itu, pasukan tersebut langsung tidak mengaplikasikan sains sukan. Amalan pemakanan juga mengikut kemampuan dan bukannya mengikut pemakanan seorang atlet," katanya.

Secara perlahan-lahan katanya, segalanya berubah dengan kemudahan yang lebih baik, begitu juga dengan amalan pemakanan dan penerapan sains sukan juga diterima.

Beliau berkata, sepanjang lima bulan berkhidmat dengan pasukan tersebut, segala nasihatnya diterima baik, sama ada oleh pemain ataupun persekutuan bola sepak Laos.

"Tahap kecergasan mereka juga semakin meningkat dengan ketara selepas menerima pakai aplikasi sains sukan yang saya terapkan," katanya.

Suatu hal yang ketara katanya, biarpun daif dan ketinggalan dalam banyak hal, semangat pemain untuk berbakti kepada negara mereka amat tinggi.

"Semangat mereka seperti semangat yang dimiliki lagenda bola sepak Malaysia, Allahyarham Mokhtar Dahari, yang berbakti demi menaikkan nama negara dan bukan mengejar wang ringgit," katanya.

Bersama pasukan tersebut, Raja Mohd Firhad juga berkesempatan menimba pengalaman berlatih selama tiga bulan di Kelab Hoang Anh Gia Lai, sebuah kelab bola sepak terkemuka di Vietnam.

Beliau yang kini pulang berehat di rumahnya di Hulu Langat, dekat sini, sedang menunggu kontrak lanjutan dari Laos bagi persediaan negara tersebut untuk Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2010 serta persiapan ke Sukan SEA di Indonesia pada 2011.

Pasukan bola sepak Laos, yang mara ke perlawanan separuh akhir acara tersebut pada sejarah temasya Sukan SEA, bagaimanapun tewas kepada Malaysia 1-3. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Mohd Rizal Mahu Kembali Berkayuh

Artikel Berikut

Artikel Lain