suria

Vietnam Terima Ganjaran USD210,000 Raih Perak Di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Walaupun tewas kepada Malaysia pada perlawanan akhir Sukan SEA Laos minggu lepas, skuad bola sepak bawah 23 tahun Vietnam tetap menerima habuan lumayan.

Menurut laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), skuad itu menerima ganjaran berjumlah USD210,000 (kira-kira RM720,090) berikutan kejayaan meraih pingat perak pada temasya dwitahunan itu.

Ganjaran USD100,000 (kira-kira RM342,900) adalah daripada Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) manakala selebihnya iaitu USD110,000 (kira-kira RM377,190) daripada syarikat penaja mereka, Global Audio Visual Joint Stock Company.

Pasukan bola sepak wanita mereka pula yang meraih emas menewaskan Thailand pada perlawanan akhir menerima ganjaran yang lebih lumayan dengan jumlah keseluruhan adalah USD290,400 (kira-kira RM995,781).

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebelum ini turut menjanjikan ganjaran istimewa kepada pemain-pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang memenangi pingat emas pada temasya itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika ditemui baru-baru ini berkata pihaknya perlu mendapat perkenan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman.

Namun bentuk ganjaran terbabit sebenarnya telah pun dikenal pasti, tambahnya.

Skuad bimbingan jurulatih K. Rajagobal itu berjaya menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir untuk meraih pingat emas yang kali terakhir dimenangi negara pada 1989, iaitu 20 tahun lepas.

Mereka kini giat menjalani latihan pusat sejak Khamis lepas bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada 6 Januari depan di tempat lawan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain