suria

MOM Gesa SGF Adakan Konvensyen

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahukan Persekutuan Sukan SEA (SGF) mengadakan konvensyen dalam masa terdekat ini bagi membincangkan jumlah dan sukan yang perlu dipertandingkan pada temasya Sukan SEA.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, langkah tersebut perlu berikutan tindakan tuan rumah temasya dwitahunan itu yang berlumba-lumba memperkenalkan sukan baru bagi memastikan mereka menjadi juara keseluruhan.

"Kali terakhir konvensyen SGF diadakan bagi membincangkan hal berkaitan Sukan SEA adalah 20 tahun lepas di Bangkok, Thailand. Selepas itu, semua tuan rumah bebas mempertandingkan jumlah dan acara sukan dengan persetujuan SGF menyebabkan banyak sukan baru dimasukkan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah tuan rumah temasya dwitahunan itu yang semakin mempertandingkan acara sukan tradisional mereka bagi menambah jumlah kutipan pingat dalam usaha menjadi juara keseluruhan temasya tersebut.

Sebagai contoh, bermula pada edisi 2003 di Vietnam, tuan rumah memperkenalkan acara renang sirip, muay thai, timang bulu ayam dan perlumbaan bot tradisional.

Acara tersebut turut dipertandingkan di Manila, Filipina (2005), Korat, Thailand (2007) dan Vientiane, Laos.

Sementara Indonesia, yang akan mempertandingkan 37 sukan pada edisi 2011, turut memasukan tiga sukan baru iaitu memanjat dinding, roller-blade dan kempo (sejenis seni mempertahankan diri dari Jepun yang menggunakan pedang buluh).

Sieh berkata, MOM akan mencadangkan agar SGF memastikan tuan rumah Sukan SEA dimestikan menganjurkan 20 sukan mandatori yang melibatkan sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik dan Asia dan 10 lagi sukan tambahan mengikut kemampuan tuan rumah.

Selain itu katanya SGF juga boleh menggilirkan jenis sukan tersebut mengikut keutamaannya berdasarkan acara yang dipertandingkan di Olimpik.

"Sukan yang dipertandingkan di Olimpik, perlu dipertandingkan pada setiap edisi Sukan SEA sementara sukan lain, yang berbentuk sukan tradisional, boleh diadakan empat tahun sekali bersama acara Olimpik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Mohd Rizal Mahu Kembali Berkayuh

Artikel Berikut

Artikel Lain