suria

JBS Negeri Sembilan, Salomon Power Bar Juara Eco Challenge

GUA MUSANG: Skuad sukan lasak dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sembilan dan Salomon Power Bar masing-masing muncul juara bagi kategori Jemputan dan Terbuka Gua Musang Eco Challenge 2009, di sini, semalam.

Kedua-dua pasukan itu mengalahkan 83 peserta lain dalam sukan lasak yang disifatkan paling mencabar dan bersejarah kerana diadakan dalam suasana hujan lebat pada musim tengkujuh tahun ini.

Kejohanan itu merangkumi tiga acara iaitu larian, berkayak dan berbasikal merentasi sungai dan jalan ladang sejauh 45 kilometer itu bermula dari Taman Negara Kuala Koh dan berakhir di perkampungan rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh II.

Pengurus Besar Kesedar, Mohd Arshad Ismail berkata, kejohanan Eco Challenge Gua Musang 2009 ini amat bersejarah kerana secara kebetulan jatuh pada musim tengkujuh menjadikannya lebih mencabar kepada 85 pasukan yang menyertai kejohanan itu kali ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan itu, beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan kejohanan yang lebih besar seumpama ini dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah(Ketengah) bermula dari Tasik Kenyir dan berakhir di Gua Musang.

"Program ini diadakan bagi mempromosikan destinasi pelancongan kedua-dua negeri itu dalam usaha menarik pelancong di kedua-dua destinasi eko-pelancongan itu," katanya.

Mohd Arshad berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi peruntukan RM150,000 kepada Kesedar untuk melaksanakan program pembangunan di bidang pelancongan tahun ini, termasuk RM70,000 untuk program Eco Challenge Gua Musang 2009 ini.

Menurutnya, objektif program ini ialah untuk mempromosikan Gua Musang sebagai satu kawasan pelancongan alam semula jadi melalui aktiviti sukan selain memupuk serta membangunkan keupayaan diri peserta ke arah masyarakat cergas, sihat dan bersatu sesuai dengan gagasan 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain