suria

Malaysia Raih Gangsa Acara Individu IODA

LANGKAWI: Malaysia sekadar meraih pingat gangsa apabila pelayar pelapis kebangsaan, Mohamad Farhan Hamid menduduki tempat ketiga acara individu selepas saingan 12 perlumbaan pada Kejohanan Optimist Asia Persatuan Optimist Dinghy Antarabangsa (IODA) 2009 yang berakhir di sini, hari ini.

Mohamad Farhan, 14, berjaya membaiki kedudukan daripada tangga kelima semalam kepada tangga ketiga hari ini dengan 52 mata untuk menang pingat gangsa.

Sementara itu, naib juara Kejohanan IODA Dunia di Brazil Ogos lepas, Mohamad Faizal Norizan yang menduduki tempat ketiga semalam hanya mampu berada pada kedudukan ketujuh dengan 67 mata manakala seorang lagi pelayar berbakat Ahmad Latif menduduki tangga keenam dengan 64 mata.

Sebelum ini dalam acara berpasukan Malaysia merangkul pingat perak manakala Thailand memenangi pingat emas dan Singapura meraih gangsa.

Thailand memungut pingat emas kedua menerusi Noppakao Poonpat yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha 2006, setelah munggungguli kategori individu itu hari ini. Noppakao, 14, yang merupakan juara bahagian wanita IODA dunia di Brazil berjaya mengekalkan pencapaian dalam 12 perlumbaan dengan 34 mata. Pelayar Sepanyol, Carlos Robles pula di tempat kedua dengan 45 mata.

Seramai 121 pelayar dari 25 negara menyertai kejohanan kali ini termasuk dari New Zealand, Australia, Perancis, Korea, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Hungary, India, Belgium, Qatar, Sepanyol, Croatia, Jepun, Itali dan Singapura.

Malaysia menghantar dua pasukan dengan 14 pelayar sebagai satu pendedahan menghadapi Sukan Asia 2010 di China. Kejohanan seminggu itu mempertandingkan dua kategori iaitu Optimist individu dan berpasukan. - BERNAMA

Artikel Lain