suria

Tinju Cipta Sejarah Raih Dua Emas Sukan SEA

VIENTIANE: Di samping kegembiraan dalam acara bolasepak, tinju turut mencipta sejarah sendiri apabila pertama kali memenangi dua pingat emas di sepanjang penyertaan negara pada temasya Sukan SEA di luar negara sejak 1961.

Kecuali semasa Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, skuad tinju negara tidak pernah memperolehi dua emas di luar negara yang merupakan emas terbanyak dimenangi skuad tinju negara.

Dua emas diperolehi menerusi acara lelaki 75kg middle weight oleh Mohd Farkhan Mohd Haron dan 81kg light heavy weight Mohd Fairus Azwan Abdullah dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Olympasia, Universiti Nasional Laos di sini hari ini.

Kemenangan bersejarah negara Mohd Farkhan disambut kegembiraan apabila peninju berusia 21 tahun itu menewaskan penentangnya dari Vietnam Cao Van Truong dengan mata 4-1.

Mohd Farkhan berkata kemenangan hari ini ditujukan buat neneknya Zainab Abd Tahir yang kini berusia 77 tahun dan sedang terlantar di hospital akibat strok sejak sebulan lepas.

"Nenek saya pada mulanya tidak merestui penglibatan saya dalam sukan ini kerana saya mengikuti jejak langkah ayah saya.

"Kemenangan hari ini lebih bersejarah apabila mengikuti langkah jurulatih di negeri kelahiran saya Johor Zulkifli Yakob yang turut memenangi emas dalam kategori yang sama pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur," katanya.

Peninju ini menebus kekecewaan di Sukan SEA yang lepas di Korat selepas hanya memenangi perak.

Sementara itu seorang lagi peninju negara, Mohd Fairus, 22, menumpaskan Ahmad Amri dari Indonesia dengan 11-3 untuk meraih emas.

Anak peneroka dari Felda Cini, Pahang itu tidak dapat menahan kegembiraan apabila terus mengalirkan air mata semasa ditemuramah.

Peninju berusia 22 tahun itu berkata tidak ada kata yang dapat diluahkan bagi menggambarkan perasaannya dapat menghadiahkan emas dalam penyertaan kali pertamanya untuk negara.

"Kata-kata semangat dari jurulatih tadi memberikan saya semangat untuk terus memungut mata dan pingat ini ditujukan untuk keluarga, jurulatih, rakan-rakan seperjuangan dan rakyat Malaysia khususnya.

Ini merupakan pingat paling berharga untuk saya sehingga kini," katanya. Pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu tahun lepas, Mohd Fairus hanya memungut pingat perak apabila ditewaskan peninju dari Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain