suria

Natasha Turut Galas Cabaran Pasukan Petronas Mofaz Racing

KUALA LUMPUR: Empat pelumba remaja tempatan, seorang daripada wanita, dipilih menggalas cabaran pasukan Petronas Mofaz Racing pada perlumbaan siri Formula BMW bagi musim 2010.

Mereka terdiri Calvin Wong Weng Man, 17, Ryan Ritchie, 16, Abang Amirul Hadi Abang Khirudin, 17, dan Natasha Nur Ida Adam Seatter, 16.

"Mereka dipilih melalui program pembangunan bakat muda Petronas iaitu dari sekolah perlumbaan Petronas Formula Xperience (PFX)," kata ketua pasukan Petronas Mofaz Racing Mohamed Fauzy Abdul Hamid kepada pemberita di sini hari ini.

Siri Formula BMW merupakan kejohanan bertaraf dunia yang boleh menjadi platform pertama pelumba muda itu sebelum menyertai siri perlumbaan lebih besar seperti Formula One.

"Empat pelumba ini mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa selagi mempunyai kesungguhan dan displin yang tinggi di dalam perlumbaan," kata Mohamed Fauzy.

Pasukan Petronas Mofaz Racing dibentuk melalui kerjasama antara Mofaz dan Petronas bagi meneruskan usaha membina skuad pelapis pelumba negara melalui pendedahan dalam siri asasi perlumbaan seperti siri Formula BMW yang kompetitif mulai musim depan.

Natasha Nur Ida pula berkata beliau bangga kerana terpilih dan diberi kepercayaan untuk mewakili pasukan itu.

"Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan ketiga teratas," katanya.

Tahun ini, Natasha Nur Ida menduduki tempat ketiga di Kejohanan Yamaha SL Cup Malaysia yang berlangsung di Sepang pada 16 Julai dan mengambil bahagian dalam kejohanan Karting Terbuka Asia 125cc di Macau pada 14 Jun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain