Mangsa rebah di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital, namun akhirnya disahkan meninggal dunia. -Gambar hiasan AI
SEORANG sami Buddha meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan seekor anjing yang tersangkut pada pagar dawai berduri.Dalam kejadian pada Rabu lalu di Daerah Pathum Ratchawongsa, Wilayah Amnat Charoen, Thailand, mangsa dikenali sebagai Phra Tom, 37, sedang melakukan rutin sedekah pagi sebelum terdengar salakan seekor anjing. Dia kemudian menghampiri haiwan itu dan cuba menarik dawai berduri bagi membolehkannya melepaskan diri.Bagaimanapun, Phra Tom tidak menyedari pagar berkenaan terkena aliran arus elektrik voltan tinggi akibat kerosakan pada tiang elektrik berhampiran.Sebaik sahaja tangannya menyentuh pagar, dia terkena renjatan elektrik sebelum rebah di lokasi kejadian.Orang awam segera menghubungi pasukan kecemasan dan mangsa dikejarkan ke Hospital Pathum Ratchawongsa, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kesan lecur elektrik yang teruk pada tangan tanpa sebarang kecederaan lain atau unsur jenayah. Doktor mengesahkan punca kematian ialah kegagalan jantung akut akibat renjatan elektrik voltan tinggi.Susulan kejadian itu, polis Wilayah Amnat Charoen mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada, terutama pada musim hujan apabila keadaan tanah yang basah meningkatkan risiko renjatan elektrik. -Agensi