SEORANG lelaki terkejut apabila diminta berhenti menggunakan sebuah gimnasium selepas pihak pengurusan mendakwa menerima terlalu banyak aduan mengenai bau badannya yang kuat.Lebih mengejutkan, lelaki dikenali sebagai Shi itu bukan sahaja menerima bayaran balik bagi baki yuran keahliannya, malah turut diberikan kad keahlian percuma selama tiga bulan di gimnasium lain. Menurut Zhejiang TV, Shi yang menetap di Hangzhou, wilayah Zhejiang, membeli keahlian gim selama tiga tahun pada Mei tahun lalu dengan bayaran 6,388 yuan (kira-kira RM3,836).Bagaimanapun, pada 20 Jun lalu, dia menerima mesej daripada pihak gim memaklumkan keahliannya ditamatkan selepas banyak pelanggan mengadu bau badan yang kuat mengganggu mereka ketika bersenam.Menurut pihak pengurusan, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkannya dengan teliti dan mereka bersetuju memulangkan baki yuran keahlian sebanyak 3,888 yuan (kira-kira RM2,335).Pihak gim turut memaklumkan mereka sebelum ini sudah cuba mengatasi masalah itu dengan menyediakan peralatan senaman di sudut khas untuk Shi serta memintanya hadir pada waktu kurang sesak. Namun, aduan daripada pelanggan masih berterusan dan mereka enggan menggunakan peralatan berdekatan.Shi mengakui dia mudah berpeluh, namun menegaskan dia sentiasa membawa beberapa helai tuala untuk mengelap peluh dan membersihkan peralatan selepas digunakan bagi mengurangkan ketidakselesaan kepada orang lain.Dia berharap dibenarkan kembali bersenam di gim tersebut kerana lokasinya berhampiran rumahnya.Kisah itu kemudian dikongsikan menerusi sebuah program televisyen tempatan dengan harapan dapat mencari penyelesaian, namun sehingga kini belum ada perkembangan baharu.Perkara itu turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China, dengan kebanyakan netizen dilaporkan menyokong tindakan pihak gymnasium berkenaan. -Agensi