suria

Yi Ting Perbaharui Rekod Sukan SEA Dan Rekod Kebangsaan

VIENTIANE: Perenang negara, Siow Yi Ting akhirnya berjaya menghadiahkan kilauan pingat emas buat skuad renang negara pada temasya Sukan SEA ke-25 di sini, semalam.

Dalam acara 200m rampaian individu wanita, Yi Ting, yang akan meraikan hari kelahirannya ke-24 hari ini, berjaya memperbaharui rekod Sukan SEA dan juga rekod kebangsaan miliknya.

Pada saingan di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional, Yi Ting mencatat masa 2 minit 14.57s untuk memadam rekod 2:17.17s yang dipegang perenang Singapura sejak temasya Sukan SEA Brunei pada 1999.

Rekod kebangsaan sebelum ini ialah 2:16.92s yang dilakukannya pada Sukan Komanwel Melbourne pada 2006.

"Saya yakin dengan catatan masa kali ini selepas gagal berbuat demikian beberapa kali sebelum ini. Sebenarnya hasrat saya adalah untuk memenangi emas dalam acara ini.

"Saya agak terkejut dengan catatan rekod ini. Saya hanya nyatakan pada diri saya supaya catatan masa 2:15.00s sudah cukup baik tetapi catatan 2:14.00s merupakan bonus bagi diri saya," kata Yi Ting, yang turut meraih emas dalam acara sama pada Sukan SEA di Korat, dua tahun lepas.

Sejurus selepas itu, Yi Ting membantu kuartet 4x200m negara Li Lai Wei, Hii Siew Siew dan Khoo Cai Lin untuk meraih pingat gangsa.

Sementara itu, kuartet lelaki yang terdiri daripada Foo JIan Beng, Kevin Yeap, Kevin Lim dan Daniel Bego turut meraih pingat gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki dan sekaligus mencipta rekod baru kebangsaan.

Kuartet perenang negara itu, mencatat 7:36.89s untuk memadam rekod lama yang dibuat oleh gandingan Alvin Cheah, Lim Keng Liat, Wan Azlan Abdullah dan Diung Manggang iaitu 7:40.88s pada temasya Sukan SEA Brunei pada 1999.

Walaupun gagal meraih sebarang pingat, Chui Lai Kwan turut mencipta rekod baru kebangsaan dalam acara 100m gaya bebas wanita dengan catatan 57.59s, memadam rekod 58.05s milik Leung Chii Lin tahun lepas.

Hari ini, tujuh lagi acara renang akan dipertandingkan. BERNAMA

Artikel Lain