suria

Malaysia Raih Gangsa Dalam Acara Ping Pong Wanita Berpasukan

VIENTIANE: Malaysia hari ini berjaya merangkul pingat gangsa acara ping pong berpasukan wanita tanpa tunggak utamanya Ng Sock Khim pada Sukan SEA ke-25 di Dewan Persidangan Universiti Kebangsaan di sini.

Pengurus pasukan Soong Poh Wah berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian pasukan wanita yang terdiri daripada Beh Lee Wei, Chiu So Jiin dan Fan Xiao Jun kerana dapat mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

"Biarpun ketiadaan Sock Khim, pasukan wanita dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan manakala pasukan lelaki yang bertarung dalam kumpulan B menentang Thailand, Vietnam, Myanmar dan Laos juga telah melakukan yang terbaik namun tidak bernasib baik," katanya kepada Bernama di sini.

Sock Khim, yang memenangi pingat perak pada temasya lepas di Korat, Thailand, pada 2007, tidak dapat beraksi kali ini akibat kecederaan kaki.

Dalam perlawanan separuh akhir, pasukan wanita negara tewas 0-3 kepada Singapura yang menurunkan pemain berpengalaman Feng Tian Wei, Sun Bei Bei dan Zena Sim.

Cabaran pasukan lelaki negara yang terdiri daripada Muhd Shakirin Ibrahim, Chai Kian Beng dan Kho Mao Sheng bagaimanapun sudah berakhir semalam apabila hanya dapat menduduki tempat ketiga dalam saingan kumpulan.

Pada perlawanan akhir pula, pasukan pilihan Singapura memungut dua pingat emas apabila menewaskan Thailand dalam kategori berpasukan lelaki dan wanita.

Pooh Wah berkata selepas ini sasaran diletakkan di bahu Lee Wei yang akan bersaing dalam kategori individu wanita, Muhd Shakirin dan Kian Beng yang bergandingan dalam beregu lelaki serta Lee Wei dan Muhd Shakirin dalam acara beregu campuran.

Acara ping pong akan bersambung Sabtu ini sehingga Selasa depan dengan mempertaruhkan lima lagi pingat emas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain